Bunuhdiri Tamatkan Jelajah Mereka Di Sarawak Dengan Kejayaan
Kugiran death metal brutal teknikal dari Malaysia, Bunuhdiri, telah menamatkan jelajah “Tour Kembara Kenyalang” mereka di Sarawak dengan penuh kejayaan minggu lalu. Jelajah tersebut merangkumi dua persembahan, iaitu di Bintulu pada 11 Januari dan Kuching pada 12 Januari, yang menyaksikan sambutan hangat daripada peminat muzik metal ekstrim di sana.
Untuk bermain di Sarawak, Bunuhdiri yang berpusat di Kuala Lumpur memulakan perjalanan dengan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bintulu, sebelum meneruskan perjalanan ke Kuching pada keesokan harinya.
Menurut kenyataan rasmi di laman Facebook mereka, persembahan di Bintulu yang berlangsung di Virgo @ Live 2.0 mendapat sambutan luar biasa. “Metuk Ulau Riot Gig adalah sesuatu yang luar biasa! Bintulu anda memang hebat! Ia adalah persembahan yang sangat dahsyat!” kata mereka.
Kugiran ini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, termasuk The End-emic, Mr Tok Adi (Adi Herman) dan pasukannya, serta individu seperti Olee dari Extreme Music Independent dan Hamka dari Dropdead Distro. Mereka juga menghargai kehadiran penyokong lama serta sokongan daripada penyokong baru mereka.
Persembahan kedua mereka di Kuching berlangsung di Appleseeds Studio, Jalan Satok. Untuk acara tersebut Bunuhdiri juga memuji penganjur, Alexander Terry dari Inferno Stage Entertainment dan Marvin dari Punkcaroba Entertainment atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. “Kami sangat teruja dapat berada di Kuching. Terima kasih kepada semua yang hadir dan menyokong acara ini!” tulis mereka di laman Facebook.
Selepas kejayaan tour ini, Bunuhdiri kini memberi fokus untuk menerbitkan album sulung mereka pada tahun 2025 dan menurut vokalis dan pengasas Bunuhdiri, Wira Rastara, album tersebut merupakan keutamaan kugiran Bunuhdiri buat masa ini.
“Kami sedar bahawa sebuah album penuh amat penting untuk membawa kugiran ini ke tahap seterusnya. Kami akan pastikan ia siap tahun ini sebelum memulakan siri jelajah yang baru,” katanya.
Bunuhdiri yang ditubuhkan pada tahun 2015 kini dianggotai oleh Wira sebagai vokalis, Christopher Yusof di posisi bass, Rezza di gitar, dan Suryan Nair sebagai pemain dram.
Kugiran ini sebelum ini telah melancarkan EP bertajuk “Cosmic Rebirth” pada tahun 2024 dan telah menjelajah ke pelbagai lokasi, sama ada di dalam Malaysia atau di luar Malaysia termasuk negara-negara seperti Thailand dan Indonesia, sempena pelancaran EP tersebut.
“Tour Kembara Kenyalang” sememangnya telah mengukuhkan nama Bunuhdiri sebagai antara kugiran besar dalam dunia metal tempatan dan bukan setakat itu sahaja, mereka juga kelihatan bersedia untuk terus melangkah ke hadapan dalam karier muzik mereka, dengan semangat yang tinggi dan tanpa tanda-tanda ingin memperlahankan langkah mereka.