Bunga Dan Perjalanan ‘Seharum Nama’, Dua Tahun Mencipta Nadi Sebuah Album

Penyanyi rap dan penulis lirik berbakat, Bunga, melakar satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya seninya apabila melancarkan album penuh pertama berjudul Seharum Nama – Bunga, yang mula dipasarkan pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital.
Mengandungi 10 buah lagu, album ini dilihat sebagai simbol transisi kematangan Bunga dalam berkarya sejak mula mencipta nama pada 2019. Menurut Bunga, setiap karya dipilih dengan teliti demi memastikan ia benar-benar mewakili jiwa, perjalanan, dan perasaannya.
“Seharum Nama – Bunga bukan sekadar tanda mata, tetapi manifestasi saya terhadap muzik. Pemilihan lagu dilakukan secara berhati-hati supaya dapat memuaskan hati pendengar,” ujarnya pada sidang media di TGV Suria KLCC.
Album terbitan Warner Music Malaysia ini menampilkan pelbagai genre dan nuansa, termasuk single utama Tak Tidur Malam yang dilancarkan serentak sebagai ‘peluru’ pembuka. Lagu ciptaan Amzar Razqa, Bunga dan Amsyar Razqa ini melalui proses pra-produksi yang panjang, termasuk penglibatan tiga tenaga berbeza bagi mixing dan mastering.
Menariknya, lagu tersebut pada awalnya diinspirasikan oleh bunyi dangdut sebelum diolah semula kepada versi dengan “vibe spooky” bagi memberikan kelainan dan segar kepada pendengar.
Selain Tak Tidur Malam, album ini turut memuatkan lagu Buai, Jatuh, Dengarkanlah, Intan Payung (feat Noraniza Idris), Apadehal (2025 Mix), Jiwa Raga, ME[MAHA]MI, Nak Buat Cane?, dan Jalan Keluar.
Bunga mengakui proses menghasilkan album ini memakan masa hampir dua tahun, dengan setiap lagu melalui saringan ketat bersama pihak pengurusan.

“Tidak mudah untuk memilih 10 lagu terbaik. Ada yang ditolak walaupun saya suka, kerana kami mahu memastikan setiap satu benar-benar kuat dari segi konsep dan penyampaian,” jelasnya.
Selain audio, aspek visual turut diberi perhatian. Tiga video muzik – ME[MAHA]MI, Tak Tidur Malam, dan Dengarkanlah – dihasilkan seperti filem pendek, masing-masing membawa naratif dan mesej tersirat.
Sebagai simbolik pelancaran, Bunga turut memperkenalkan edisi khas piring hitam Seharum Nama – Bunga serta merchandise eksklusif hasil kolaborasi bersama jenama High Cultured, yang akan berada di pasaran dalam masa terdekat.
Pelancaran album ini turut mendapat sokongan TGV Suria KLCC selaku penganjur bersama.