April 9, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Bukan Sekadar Wayang, Ini Pengalaman!”

Spread the love

Orkestra Live ‘Hidupkan’ Semula The Lion King, Janji Getaran Emosi Yang Tak Mampu Ditiru Rakaman Biasa

Lupakan pengalaman menonton wayang biasa! Kali ini, The Lion King bukan sekadar muncul di layar, tetapi ‘hidup’ sepenuhnya dengan iringan orkestra secara langsung. Bayangkan bunyi Circle of Life, Hakuna Matata dan Can You Feel the Love Tonight bukan dari pembesar suara tetapi terasa ‘menggoncang’ KLCC Plenary Hall pada 13 Jun 2026 ini.

Di bawakan khas oleh Milestone Production, ianya bukan sekadar tayangan di layar, filem animasi klasik itu bakal ‘hidup’ di depan mata dengan iringan orkestra secara langsung, menghasilkan getaran bunyi yang lebih mendalam, lebih emosional dan jauh berbeza daripada apa yang pernah didengar sebelum ini.

Menurut Eric Lee, Konduktor NSO Istana Budaya, cabaran terbesar bukan sekadar memainkan skor terkenal dunia, tetapi bagaimana untuk menjadikan sesuatu yang sudah sebati di telinga peminat sebagai pengalaman yang lebih mengujakan.

“Seluruh dunia kenal muzik The Lion King. Ramai boleh ‘hum’ lagu-lagunya dengan mudah. Jadi cabaran kami adalah untuk menjadikannya lebih segar dan lebih ‘hidup’ apabila dipersembahkan secara langsung,” katanya ketika sidang media Disneys The Lion King Live in Concert yang telah berlangsung di Lambang Sari Istana Budaya pada 8 April lalu.

Tambahnya, kekuatan utama persembahan ini terletak pada hubungan emosi yang terhasil secara ‘live’, sesuatu yang tidak mampu digantikan oleh rakaman.

“Apabila anda berada di dalam dewan dan mendengar sendiri bunyi orkestra, getarannya berbeza. Ia menyatukan penonton dalam satu pengalaman yang sama itu yang tidak ada pada rakaman biasa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa muzik memainkan peranan besar dalam sesebuah filem, malah menjadi elemen utama dalam menyampaikan emosi penceritaan.

Dalam persembahan ini, penonton akan disajikan dengan tayangan penuh The Lion King versi animasi 1994, diiringi orkestra yang memainkan skor asal secara tepat dan seiring dengan visual di skrin.

“Kami tidak ubah komposisi asal. Segalanya dimainkan secara ‘sync’ dengan filem menggunakan teknik khas bertaraf dunia bagi memastikan pengalaman yang sempurna,” tambah  Dato’ Grace Lee, Pengarah Urusan Milestone Production.

Skor ikonik ini merupakan ciptaan Hans Zimmer, lagu-lagu oleh Elton John dan Tim Rice, dengan sentuhan Afrika oleh Lebo M pastinya akan memberikan magis tersendiri, epik dan buat meremang bulu roma

Apa yang pasti, gabungan visual ikonik dan bunyi ‘hidup’ dari orkestra menjadikan persembahan ini bukan sekadar tontonan tetapi satu pengalaman yang wajib dirasai sendiri. Menerusi pementasan epik The Lion King versi orkestra, penonton tempatan bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa yang selama ini hanya dinikmati di pentas antarabangsa.

Di sebalik kehebatan persembahan itu, ramai mungkin tidak tahu bahawa Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) merupakan ‘nadi’ utama di bawah seliaan Istana Budaya, selain turut disokong Orkestra Tradisional Malaysia.

Dua entiti ini memainkan peranan besar dalam memastikan setiap pementasan yang dipersembahkan bukan sekadar ‘cantik di mata’, tetapi mencapai standard global yang ketat.

“Kami tidak kompromi soal kualiti. Setiap persembahan mesti ikut piawaian antarabangsa,” tegas Puan Hanida Mohamed Yusof, Pengarah Produksi dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya.

Menurutnya, kolaborasi bersama produksi berwawasan tinggi seperti Mindstone Productions membuktikan Malaysia kini semakin berani membawa produksi berskala mega ke pentas sendiri. Apa yang lebih menarik, pementasan seperti ‘Lion King’ ini dilihat sebagai ‘pintu masuk’ buat penonton yang belum pernah menjejakkan kaki ke konsert orkestra.

Dalam masa sama, usaha ini turut membuka peluang kepada pemuzik muda tempatan untuk belajar dan mengikut standard antarabangsa yang diguna pakai.  Lebih membanggakan, tahap kualiti orkestra tempatan kini dilihat mampu berdiri sebaris dengan produksi hebat dunia seperti Broadway.

Harga tiket bermula dari RM168 dan menawarkan pelbagai kategori untuk dipilih:Premium: RM638, VIP: RM538, Kategori A: RM468, Kategori B: RM368, Kategori C: RM268 dan Kategori D: RM168

Nota: Semua harga tertakluk kepada RM6 caj tiket setiap tiket dan 8% SST.

Bagi pemegang kad UOB, nikmati diskaun sehingga 20% untuk pembelian tiket menggunakan kad anda (tertakluk kepada terma dan syarat).

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari: www.milestone-entertainment.com


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page