Bukan Sekadar Konsert, Dr Alban Janji Malam Penuh Energi & Nostalgia

Penyanyi legenda muzik eurodance dan reggae, Dr Alban, kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi konsert solo sulungnya, Rewind & Play Experience, yang akan berlangsung pada 23 Mei 2025 di Zepp Kuala Lumpur. Konsert yang dinanti-nantikan ini dibawakan oleh Mojo Projects dan Tuff & Loud.
Walaupun bukan kali pertama beraksi di Malaysia, Dr Alban mengakui tetap teruja kembali ke negara ini selepas lebih tiga dekad sejak kunjungan pertamanya. Beliau masih mengingati dengan jelas layanan mesra yang diterima dan kagum kerana sambutan hangat itu masih dirasai sehingga kini.

“Di Malaysia sangat bagus, panas, orangnya baik dan layanan diberikan hebat. Sangat bagus dapat sekali lagi berada di sini kerana hospitalitinya juga baik,” ujarnya ketika ditemui media pada 22 Mei lalu.
Dr Alban, yang pernah berkolaborasi dengan Sasi The Don menerusi lagu Music In Me, turut meluahkan rasa syukur kerana masih diberi peluang menghiburkan peminat serata dunia.
“Saya bersyukur boleh mencari wang, melancong, berseronok dan bertemu ramai orang seperti anda semua selepas 30 tahun. Ini sama sekali tidak teruk langsung.”
Konsert yang bakal berlangsung ini dijanjikan penuh nostalgia apabila Dr Alban akan mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hitsnya yang telah mengukir fenomena global, termasuk It’s My Life, One Love, No Coke dan banyak lagi.
“Anda boleh sebut saja. Kami akan mempersembahkannya. Kami bawa DJ, penyanyi latar serta beberapa penari. Kami akan berikan anda lagu-lagu hit sahaja – sama dari satu negara ke negara lain. Jadi, saya bersyukur kerana dapat kembali dan melakukan ini. Ia sangat hebat,” katanya penuh semangat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mojo Projects, Ratna K Nadarajan, berkata konsert ini merupakan usaha berani mereka dalam meneroka segmen muzik retro yang dilihat masih mempunyai potensi besar di Malaysia.

“Kami rasa segmen itu belum diterokai sepenuhnya dan ada ramai artis retro yang pasti akan berjaya di Malaysia. Mungkin bukan mengisi stadium besar, tetapi sekurang-kurangnya mampu tarik penonton.”
Ratna turut menjelaskan bahawa idea membawa Dr Alban ke Malaysia tercetus hasil perbincangan bersama Sasi The Don, yang juga ahli keluarganya.
“Kami bercakap tentang muzik dan bagaimana mahu masuk ke suasana retro ini. Dan saya rasa nama Dr Alban berada di senarai teratas.”

Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh dibeli menerusi www.excitix.com.my dan www.ticketmelon.com. Jangan lepaskan peluang menyaksikan lagenda eurodance ini secara langsung dalam satu malam penuh memori dan rentak tidak lapuk dek zaman.