‘Bubblebee’ Kini Berwajah Baharu
Meskipun terpalit kontroversi isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), ianya sedikit pun tidak melemahkan semangat Shuib untuk terus memperkasakan jenama Bubblebee yang telah diusahakan sejak tahun 2019 lagi.
Cawangan Bubble Bee ke empat di Melaka dan pertama yang diberikan suntikan ‘rebranding’ yang lebih segar berbanding sebelum ini.
“Ini adalah cawangan terbaharu yang terletak di Masjid Tanah Melaka, lebih menarik pihak Bubblebee telah bekerjasama melantik perunding untuk memberi aura yang lebih segar, lebih mesra alam dan cantik di pandangan mata penggemarnya”, jelasnya kepada media sewaktu pelancaran cawangan Bubblebee di Melaka pada 26 November lalu.
“InshaAllah kita akan membuat transformasi warna dan susun atur kedai kepada 45 cawangan yang lain sedikit demi sedikit. Meskipun ada yang beranggapan sebelumnya bahawa ‘transformasi’ di Masjid Tanah ini adalah ‘fake’ dan ianya bukanlah milik saya.”, ujarnya.
Sementara itu Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad turut menjelaskan situasi terkini isu KWSP yang menimpanya. Dia berkata isu tersebut umpama ‘wake up call’ untuk beliau terus memperkukuhkan jenama tersebut malah turut menyimpan hasrat agar jenama Bubblebee turut dikenali di luar negara.
“Saya akui isu KWSP itu satu tamparan besar buat saya, malah pihaknya sudah berhubung dengan KWSP bagi pembayaran secara ansuran selain kira-kira 300 pekerjanya juga sudah dimaklumkan mengenai hal itu”, ujarnya
“Maksudnya, segala permasalahan mengenai KWSP sudah selesai, pekerja sudah dapat memo dan kiriman e-mail, selain sedia maklum mengenai status pembayaran KWSP”, jelasnya
Menurutnya, walaupun isu itu memberi tekanan kepada dirinya, namun dia tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang bertindak menularkan isu itu.
“Ini satu ‘tembakan’ buat diri ini, tetapi saya ambil positif kerana dalam kehidupan kalau tidak dicuit tidak perasan. Bukan untuk cari salah tetapi kita hendak bersua atau berdepan dan selesaikan dengan cara baik. Jika ada masalah, cerita dengan baik dan saya akan bertanggungjawab.
“Kita ada ramai pekerja tetapi disebabkan dua, tiga orang ini buatkan yang lain tidak yakin. Untuk tindakan saman, saya tidak bercadang untuk mengambilnya kerana saya anggap ini teguran berhemah dan bermanfaat,” katanya.
“Alhamdulillah kedudukan kewangan semakin stabil atas sokongan luar biasa berdasarkan hasil jualan dan bantuan pihak bank memandangkan kami adalah syarikat Bumiputera.
Mengulas mengenai kedudukan kewangan Bubble Bee yang dikatakan berdepan masalah, Shuib menjelaskan bahawa pihaknya mendapat sokongan daripada pelbagai pihak selain turut bercadang untuk membuka cawangan baharu di Sandakan.