“Boss Bagi Cuti Raya” — Lagu Raya ‘Real’ Buat Kaum Perantau Yang Berdebar Tunggu Approval Boss
Menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini, sebuah lagu raya baharu berjudul Boss Bagi Cuti Raya tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengangkat kisah realiti kehidupan golongan pekerja yang merantau demi mencari rezeki.
Diterbitkan oleh JAVS Production, single yang dilancarkan pada 20 Februari 2026 bersamaan 2 Ramadan 1447H itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan syarikat berkenaan dalam menghasilkan karya bertemakan Hari Raya Aidilfitri sebagai sumbangan kepada industri hiburan tempatan.
Lagu ciptaan Farhim atau nama sebenarnya Jaafar Hashim bersama penulis lirik Maznimjay (Mazni Mohamad) ini mengetengahkan pengalaman sekumpulan pekerja bengkel yang menantikan kelulusan cuti panjang daripada majikan mereka bagi membolehkan mereka pulang berhari raya di kampung halaman.
Situasi berkenaan dilihat cukup dekat dengan kehidupan masyarakat di negara ini, khususnya dalam kalangan pekerja sektor swasta yang sering berdepan dilema antara komitmen kerja dan keinginan untuk meluangkan masa bersama keluarga pada musim perayaan.
Dipersembahkan oleh tiga penyanyi muda iaitu Iman Darwisy, Nayla Ruzzara dan Haziq Putera, lagu ini menampilkan elemen penceritaan yang menggambarkan kerinduan seorang anak untuk pulang bertemu ibu bapa selepas sekian lama berjauhan.
Walaupun proses penggubahan lagu berkenaan hanya mengambil masa tiga hari, keseluruhan proses produksi termasuk susunan muzik, rakaman, adunan serta penggambaran video muzik mengambil masa hampir sebulan bagi memastikan hasil yang berkualiti.
Pihak JAVS Production berharap agar Boss Bagi Cuti Raya dapat diterima baik oleh pendengar dan seterusnya menjadi antara lagu pilihan masyarakat sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri tahun ini.
Single berkenaan kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi JAVS Production serta didengari di pelbagai platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, Deezer dan Joox.
