Borneo Fashion Week 2025 Angkat Tema ‘Fashion With Purpose’, Padu Kelestarian & Warisan Borneo

Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan aspirasi lebih segar, mengetengahkan tema ‘Fashion With Purpose’ yang menekankan kelestarian fesyen sambil meraikan warisan budaya Borneo di pentas global.
Acara yang diasaskan oleh Stephanie Alcantara, juara Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, naib juara Miss Malaysia 1990 serta finalis Dewi Remaja 1989, akan berlangsung pada 10 dan 11 Oktober 2025 di lokasi baharu, Pavilion Damansara Heights.

“Borneo Fashion Week bukan sekadar fesyen. Ia tentang identiti, kebanggaan dan keberadaan. Tahun ini, kami mahu fesyen menjadi sebuah platform penceritaan yang memupuk kelestarian dan mengangkat warisan budaya,” ujar Stephanie pada sidang media di JAMBO Restaurant, Bangsar Shopping Centre, hari ini.
Seiring dengan tema tahun ini, setiap pereka diwajibkan mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, termasuk penggunaan fabrik kitar semula, bahan mesra alam atau material alternatif yang inovatif.

“Contohnya, pakaian itu boleh menggunakan bahan yang boleh dikitar semula atau dihasilkan daripada barangan yang jarang difikirkan sebagai material fesyen. Kita mahu menampilkan kreativiti melalui pendekatan unik seperti ini,” jelas Stephanie.
Selain itu, kain tradisional dari Malaysia Timur seperti pua kumbu turut menjadi tumpuan. Fabrik ikonik masyarakat Sarawak dan Sabah ini akan diolah semula oleh pereka untuk menghasilkan busana moden yang sesuai digayakan di acara rasmi mahupun santai.
BFW 2025 akan menghimpunkan lebih 22 pereka fesyen dari Malaysia, Vietnam, Singapura dan Brunei, termasuk nama-nama seperti Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, Hayden Ng, Indra Mubarak, Bilang, Bianca dan Gracie.

Pereka baharu turut diberikan pentas yang sama rata dengan pereka tersohor, sekali gus membuka ruang kepada bakat baharu untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan liputan media dan peluang rangkaian antarabangsa.
BFW 2025 mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques serta Pavilion Damansara Heights. Kerjasama ini memperkukuh kedudukan acara sebagai sebuah festival gaya hidup menyeluruh yang menyatukan fesyen, seni, budaya dan kesejahteraan.
“Kelestarian bukan sekadar tema, ia disulam dalam keseluruhan acara — daripada syarat rekaan, pemilihan bahan, hinggalah ke produksi. Dalam masa yang sama, identiti budaya Borneo tetap menjadi nadi acara ini,” tambah Stephanie.

Stephanie turut menzahirkan harapan agar BFW disenaraikan dalam kalendar rasmi Visit Malaysia 2026 di bawah MOTAC, serta terus berkembang sebagai pusat fesyen utama rantau Asia.
“Dalam jangka masa panjang, saya mahu platform ini terus memupuk bakat tempatan, membuka jalan kerjasama global serta mencipta peluang ekonomi sebenar buat pereka dan pengkarya di seluruh Malaysia dan juga Borneo,” katanya.
Dengan gabungan fesyen lestari, warisan budaya dan kerjasama antarabangsa, Borneo Fashion Week 2025 bersedia untuk mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu acara fesyen paling berprestij di Asia.