BMC Family 360° Himpun 10,000 Pengunjung, Angkat Gaya Hidup Mampan

Hampir 10,000 pengunjung memeriahkan pesta dan karnival keluarga mampan terbesar BMC Family 360° yang berlangsung pada 19 hingga 21 September lalu di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras.
Acara anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi itu mengetengahkan tema “A Step to the Future” berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG).

Jurucakap rasmi dan ikon acara, penyanyi Nabila Razali menyifatkan penganjuran tersebut sebagai platform bermanfaat yang menggabungkan ilmu, hiburan dan aktiviti interaktif untuk semua lapisan masyarakat.
“Pesta ini sangat meriah dengan pelbagai aktiviti, termasuk ruang permainan interaktif dan pameran untuk seisi keluarga. Bella sendiri teruja apabila berpeluang meninjau Mini Zoo serta pameran Angkatan Tentera Malaysia. Ia benar-benar pengalaman yang berharga,” katanya.
Selain ruang pameran pendidikan, teknologi, kesihatan dan gaya hidup lestari, acara turut menampilkan Persembahan Malam SDG yang menggabungkan muzik, budaya dan mesej kemampanan.




Antara persembahan yang menarik perhatian ialah nyanyian tiga lagu popular Nabila Razali, Cemburu, Putus dan Pematah Hati, selain persembahan muzikal oleh Talenthaus yang diterajui Haruto Rolando Iki, Evonne Chua dan David Chai, serta persembahan ensemble oleh beberapa pemuzik muda berbakat.
Acara ditutup dengan persembahan tarian ballerina dan K-pop yang menyemarakkan suasana malam.


Menurut penganjur, sambutan yang mencecah hampir 10,000 pengunjung membuktikan kesedaran dan sokongan komuniti terhadap usaha memperkukuh nilai kekeluargaan serta mengamalkan gaya hidup mampan.