December 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Black Hanifah Kembali dengan Single Penuh Emosi, “Hijab Rindu”

Spread the love

Penyanyi terkenal tanah air, Black Hanifah, kembali dengan single terbarunya berjudul “Hijab Rindu” yang penuh emosi dan sarat dengan tema ketabahan, kasih sayang, dan kematangan hidup. Lagu ini dicipta oleh Rudy Nastia bersama Nyawa Black, Kelana, dan Adi Pawana dengan lirik mendalam oleh Adi Pawana dan Rudy Nastia. Dengan sentuhan Rudy Nastia sebagai penerbit dan susunan vokalnya oleh Afif Tirmizie, “Hijab Rindu” menawarkan pengalaman muzik yang menyentuh jiwa.

Lagu ini mengisahkan perjalanan kehidupan yang penuh liku, mengajak pendengar untuk terus melangkah ke hadapan walaupun dalam kesukaran. Black mengungkapkan, “Lagu ini tentang menghargai setiap memori dan menjadikannya sumber kekuatan untuk menghadapi masa depan.” Ini menjadikan “Hijab Rindu” sangat relevan untuk para ibu bapa dan individu yang menghargai detik-detik bersama keluarga.

Ini adalah kolaborasi kedua Black bersama Rudy Nastia, Kelana, dan Adi Pawana selepas lagu “Hanyut” pada 2021. Single ini dirakam di Mixbro Records dengan proses mastering oleh Huzai (SYNS Music) dan menggambarkan yang terbaik dalam genre pop balada. Lebih istimewa, “Hijab Rindu” adalah rakaman pertama Black selepas menjalani pembedahan akibat polip pada pita suaranya.

Menerusi pengalaman itu, Black mengakui cabaran yang dihadapi untuk mencapai nota tinggi, namun dengan sokongan Afif Tirmizie dan Rudy Nastia, lagu ini akhirnya menjadi kenyataan seperti yang diimpikannya. Menariknya, muzik video “Hijab Rindu” turut menampilkan momen peribadi yang dirakam di Perth, Australia, bersama isteri dan anak-anaknya, menonjolkan tema kasih sayang dan penghargaan terhadap keluarga.

“Hijab Rindu” diterbitkan oleh Nova Music dan mula boleh distrim di semua platform penstriman pada 6 Disember 2024. Selain itu, muzik video rasmi lagu ini akan ditayangkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang di pautan https://youtu.be/UcsMy36NWyY.

Black berharap lagu ini dapat memberikan kesan mendalam kepada pendengar, terutamanya mereka yang melalui suka duka bersama keluarga. “Ini adalah cerita yang tidak perlu dijelaskan, sebuah mesej yang disampaikan dalam melodi lagu ini,” ujarnya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page