Black dan Adira Bergabung Dalam Lagu Duet Memilih Kamu
Dua penyanyi popular tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, bergabung buat pertama kali menerusi lagu duet balada berjudul Memilih Kamu, ciptaan komposer terkenal Mas Dewangga dan Jova Devito.
Lagu ini dianggap istimewa kerana selain menampilkan dua vokal hebat, ia turut menjadi runut bunyi (OST) bagi sebuah drama tempatan.
Menurut Black, Memilih Kamu membawa kisah persahabatan antara seorang lelaki dan wanita yang tersembunyi perasaan cinta di dalamnya.
“Watak lelaki itu memilih untuk tidak meluahkan rasa cintanya. Dia hanya menyokong dari jauh, meskipun sedih melihat wanita itu bersama pasangannya. Namun, di penghujung cerita mereka akhirnya disatukan juga,” katanya.
Bagi Adira pula, lagu tersebut lebih dekat dengan maksud cinta yang tidak kesampaian.
“Walaupun tidak dapat bersama, perasaan kasih tetap ada dan terus hidup dalam jiwa. Itu yang ingin disampaikan menerusi lagu ini,” ujarnya.

Kedua-dua penyanyi merakam lagu ini secara berasingan namun tetap dapat menyampaikan emosi dengan baik. Proses rakaman berjalan lancar, malah Black hanya mengambil masa kira-kira 45 minit untuk menyiapkan bahagiannya.
“Bekerja dengan Mas Dewangga dan Jova Devito memberi pengalaman berbeza. Walaupun mereka lebih muda, cara kerja sangat profesional. Hasilnya memberikan warna baharu dalam nyanyian saya,” kata Black.
Adira turut berkongsi bahawa kekuatan lagu ini terletak pada liriknya yang penuh emosi sehingga memudahkan penyampaian.
Video muzik Memilih Kamu pula memilih Bukit Fraser sebagai lokasi penggambaran. Black menyifatkan pengalaman itu mencabar namun berharga, terutama kerana penggambaran dimulakan seawal pagi dalam suasana dingin dan berkabus.
Sementara itu, Mas Dewangga berkata karya ini sememangnya dicipta khas untuk Black dan Adira berdasarkan sinopsis drama berkenaan.
“Sejak awal, kami sudah tahu ia perlu menjadi sebuah lagu duet kerana jalan cerita drama melibatkan dua watak utama. Jadi, emosi dan penceritaan dapat disampaikan dengan lebih sempurna melalui format ini,” jelasnya.
Memilih Kamu terbitan Nova Music Malaysia boleh mula distrim di semua platform digital bermula Jumaat, 22 Ogos 2025. Video muzik rasmi pula akan dilancarkan pada hari yang sama jam 3 petang menerusi saluran YouTube Nova Music Videos di pautan https://youtu.be/W1Cc7KqbTjk?si=97cugvxJzePm_kf_.
