Bintang Running Man ‘Mantap’ di Kuala Lumpur

Selepas tujuh tahun menanti, akhirnya keenam-enam bintang Running Man kembali menggamatkan Malaysia dengan keletah mereka yang mencuit hati. Konsert Running Man: Run 2 U in Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu menyaksikan Jee Seok Jin, Yoo Jae Seok, Kim Jong Kook, Ha Dong Hoon (HAHA), Song Ji Hyo, dan Yang Se Chan menghiburkan lebih 5,000 peminat di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).
Kehadiran mereka kali ini direalisasikan oleh Sunstrong Entertainment dan ternyata berbaloi buat peminat yang merindui aksi dan gelagat spontan mereka. Dari awal hingga ke penghujung acara, sorakan tidak pernah reda, membuktikan bahawa pesona Running Man masih utuh selepas lebih sedekad bersiaran di kaca televisyen.



Membuka pentas dengan lagu ikonik BTS, Spring Day, mereka terus memanaskan suasana dengan pelbagai cabaran dan permainan interaktif bersama peminat. Apa yang lebih istimewa, beberapa peminat bertuah berpeluang naik ke pentas, bermain permainan, dan merakam swafoto bersama idola mereka.
Namun, sorotan utama malam itu pastinya tertumpu kepada Yoo Jae Seok dan Yang Se Chan, yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia. Keakraban mereka dengan peminat jelas terpancar, menjadikan setiap detik lebih bermakna.



Selain aksi permainan yang menggeletek hati, para bintang Running Man turut mempamerkan bakat muzik mereka melalui persembahan solo dan duet. Dari APT., Bam Yang Gang, hingga All Of Me, setiap persembahan mendapat sorakan gemuruh, membuktikan kehebatan mereka bukan sekadar dalam dunia hiburan, tetapi juga dalam seni muzik.




Sebagai penutup konsert, mereka mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang hadir, sambil memuji mereka dengan kata penuh semangat – Mantap! Suasana yang hangat dan meriah itu membuktikan bahawa Running Man bukan sekadar rancangan hiburan biasa, tetapi fenomena global yang terus menambat hati peminat di seluruh dunia.

Sejak bersiaran pada tahun 2010, Running Man telah berjaya mencipta legasi tersendiri dalam dunia hiburan, mengekalkan populariti selama 14 tahun tanpa henti. Sejak 2013, mereka mula menjelajah ke pelbagai negara bagi bertemu peminat setia menerusi sesi jelajah mega.
Dengan sambutan luar biasa di Kuala Lumpur, adakah kita bakal melihat mereka kembali lagi dalam masa terdekat? Jika ya, pastinya lebih banyak kejutan dan kemeriahan menanti. Sehingga itu, Running Man tetap di hati – Jiayou!