February 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

BIG CAMP BTH IV Janji Pengalaman ‘Gila’ 3 Hari 2 Malam Di Ulu Cheka

Spread the love

Oleh Jorn Seth

Bayangkan dentuman gitar distorsi bergema di celah hutan, diselang-seli bunyi deruan air terjun dan sorakan peminat yang ‘mosh’ di bawah langit terbuka.

Itulah pengalaman luar biasa yang bakal ditawarkan BIG CAMP BTH IV – Metal Fest Big Camp 2026 yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 23 Ogos 2026 di Lata Lang Eco Park.

Bukan sekadar gig biasa, festival edisi keempat ini tampil dengan konsep unik apabila menggabungkan muzik metal ekstrem bersama pengalaman perkhemahan di tengah alam semula jadi.

Menurut Shahrul Efendi Alang, selaku penganjur konsep berkenaan diwujudkan bagi menghidupkan semula semangat komuniti dalam suasana lebih santai dan bebas.

“Kami tak mahu ia jadi sekadar konsert satu malam. BIG CAMP adalah ruang untuk komuniti berkumpul, berkenalan dan berkongsi minat dalam suasana lebih dekat dengan alam,” katanya.

Tambahnya, pemilihan lokasi di Ulu Cheka bukan keputusan sembarangan.

“Lata Lang ada ‘vibe’ tersendiri. Bunyi air terjun, udara segar dan kehijauan hutan beri pengalaman yang tak boleh dapat di bandar. Kami mahu peminat rasa sesuatu yang berbeza iaitu metal dalam suasana alam.”

Festival ini bakal menghimpunkan pelbagai band underground tempatan merangkumi genre death metal, black metal, thrash dan grindcore. Antara nama yang sudah diumumkan termasuk Damaq,, Antacid, Black Abyss, Anguish, Infectious Maggots, Oxidicide, Larrong, Pendita Gila, Verminator dan sebagainya..

Lebih banyak kumpulan dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut penganjur, pemilihan barisan band dibuat bagi mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan scene metal Malaysia.

“Kami mahu beri ruang kepada band tempatan yang konsisten berkarya. Scene kita sebenarnya kuat, cuma perlukan platform yang betul.”

Apa yang membezakan BIG CAMP BTH IV dengan festival lain ialah pendekatan berorientasikan pengalaman menyeluruh. Pengunjung bukan sahaja hadir untuk menikmati persembahan, malah turut menyertai aktiviti perkhemahan, BBQ, santai di tepi sungai dan sesi interaksi bersama pemuzik.

“Metal bukan sekadar muzik keras. Ia budaya dan keluarga. Sebab itu kami galakkan peminat datang berkhemah, luangkan masa bersama dan bina kenangan,” katanya.

Menariknya, festival ini juga terbuka kepada kehadiran keluarga, sekali gus mencerminkan evolusi budaya metal tempatan yang semakin matang dan inklusif.

Dengan gabungan muzik ekstrem, panorama alam yang memukau serta semangat kebersamaan yang kukuh, BIG CAMP BTH IV – Metal Fest Big Camp 2026 dilihat berpotensi menjadi antara acara underground paling ‘panas’ tahun hadapan.

Di tengah hutan Ulu Cheka nanti, bukan saja unggun api yang menyala malah semangat komuniti metal juga bakal membara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page