Bersemayam Gah Di Singgahsana, Aura Jamal Abdillah Tidak Pernah Mati
Teks oleh: Sakka E
Bersulam indah rangkai kata, mencorak gemilang rona warna, membuai makna rasa sanubari, tuntas ambisi pesona jiwa sang penghibur menabur irama lewati seri malam bersaksikan gemilau kilau mata jiwa – jiwa yang terpukau,terpesona.
Jamal Abdillah Live In Concert berlangsung penuh gilang gemilang lantas memadam api kerinduan penantian peminatnya di seluruh pelosok tanahair bahkan juga dari seberang laut yang memenuhi segenap ruang dewan Plenary Hall yang amat berprestij itu.
“Kenangan Tak Bisa Dilenyapkan” dan “Kau Lupa Janji” dua lagu yang menjadi pembuka tirai persembahan diiringi tepukkan dan sorakkan gemuruh dari para penonton menggegarkan malam yang damai santai. Muncul dari tengah pentas bak Si Raja yang masih gagah teguh penuh bergaya, Datuk Jamal Abdillah memberikan ‘tamparan’ pembukaan yang penuh bertenaga walaupun di usia yang telah menjangkau 64 tahun.
Dewan Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Center yang tadinya tenang dan santai kini bergema dengan sajian nuansa dan ambien dari garapan istimewa lagu – lagu popular Raja Pop Malaysia yang disampaikan secara medley iaitu”Kabus Di Wajahmu”, “Senandung Kasih” dan “Kerlingan”. Bagi mengekalkan kerancakkan, persembahan diteruskan dengan medley kedua yang menampilkan lagu – lagu “Berdendang Dalam Tangisan” dan “Cendrawasih”.
Penampilan Wany Hasrita sebagai penyanyi undangan menyerikan lagi konsert pada malam itu, beliau menyampaikan lagu duet bersama Jamal menerusi lagu “Kehebatan Cinta”. Wany juga menyampaikan lagunya “Canggung” secara solo sambil bercerita tentang betapa beliau amat menyanjung tinggi Dato Jamal Abdillah dan merasakan undangan untuk menyanyi sepentas dengan legenda tanahair itu sebagai satu penghargaan yang sangat tinggi buatnya.
Selesai slot Wany Hasrita, Jamal muncul berduet pula dengan rapper Farouq menerusi lagu “Aku Maafkan Kamu”. Penampilan khas ini jelas menandakan bahawa Jamal Abdillah masih kekal relevan dengan kepelbagaian arus muzik terkini yang amat mencabar kemampuannya sebagai seorang penyanyi berpengalaman, namun Jamal melakukannya dengan penuh bersahaja disamping penuh gaya.
Tibalah masa yang dinanti – nantikan, “Azura” lagu yang menjadi runut bunyi bagi filem “Azura” yang ditayangkan di pawagam pada tahun 1984. Lagu yang mengangkat Jamal Abdillah bukan sahaja sebagai penyanyi namun pelakon yang amat berbakat. Penyampaian yang penuh jiwa membuatkan para penonton terdiam terkesima walaupun rata – rata semua yang hadir mengetahui lirik lagu tersebut namun, mereka jelas memilih untuk diam dalam pesona Jamal Abdillah dengan kehebatan lagu tersebut.
Meneruskan persembahan, lagu “Takdir Penentu Segala” dipilih bagi meredupkan suasana dewan, Jamal juga mengajak penonton untuk menyanyikan lagu “Seroja” bersamanya tanpa iringan muzik yang jelas melahirkan suatu intimasi antara beliau dengan peminatnya.
Tidak ketinggalan, Jamal juga menampilkan dua cahaya matanya di malam konsert beliau yang mencuri tumpuan penonton dengan bakat yang diwarisi oleh anak – anaknya, Ahmad Zaki Yamani dan Osama Yamani diberi peluang berduet dengan ayahanda tercinta di pentas gah menyanyikan dua buah lagu iaitu “Gadis Melayu” dan “Aku Penghibur”.
Persembahan diteruskan dengan persembahan secara solo Osama Yamani yang jelas menguasai persembahannya dengan begitu bertenaga dan bersahaja sambal bermain gitar dan juga mampu melakukan solo gitar yang memukau penonton. Pada persembahan solo itu, Yamani menyampaikan dua buah lagu iaitu, “Gerhana” yang dipopularkan oleh kumpulan Kembara dan single beliau sendiri berjudul “Bunga Seroja”.
Penonton terus dihiburkan dengan duet Jamal Bersama anaknya Yamani menerusi lagu “Perjalanan Ku” dan “Terharu”. Dengan persembahan sehebat itu di usia yang semuda itu Yamani dilihat mempunyai masa depan yang cerah dalam industri muzik tanahair tidak ketinggalan juga adiknya Zaki Yamani. Masing – masing memiliki suara mirip ayahanda mereka.
Konsert anjuran Shiraz Project ini telah berjaya menghimpunkan lebih dari tiga ribu peminat Jamal Abdillah, ianya merupakan satu lagi kejayaan Shiraz Project dalam penganjuran konsert yang berprestij dan berkualiti dari segi lokasi, keselesaan dan pengurusan secara keseluruhannya. Kepuasan jelas terpapar di setiap wajah para pengunjung yang hadir.
Sistem bunyi yang mantap dan latar cahaya yang berwarna warni turut memainkan peranan bagi menghidup dan menyerikan konsert disamping para pemuzik iringan yang hebat dan berpengalaman dikemudikan oleh pengarah muzik saudara Shahwal Husin menjadi tulang belakang dalam konsert yang amat dinanti – nantikan oleh peminat Jamal Abdillah.
Selama hampir tiga jam Jamal menghiburkan para peminatnya tanpa ada tanda letih dan ini dapat dilihat dari kualiti suaranya yang kekal mekar sepanjang persembahan seakan langsung tak terkesan dek usianya yang telah menjangkau 64 tahun.
Antara lagu – lagu popular Jamal yang dimuatkan pada konsert malam itu ialah “Ghazal Asmara”, “Ghazal Untuk Rabiah” dan “Samrah Mentari” yang dipersembahkan secala medley, “Di Sudut Kamar Hatiku”, “Kekasih Awal dan Akhir” dan “Penghujung Rindu”.
Sebagai penutup tirai Jamal menyampaikan lagu yang amat dinanti – nantikan iaitu lagu “Seniman Menangis” yang jelas memberikan suatu kepuasan yang tampak jelas di setiap wajah yang menyaksikan persembahan yang amat memukau.