September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Bersama Akhirnya’ Teaser Ziana Zain Menjelang Konsert 25 Mei 2024

3 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Sememangnya begitu bersemarak rasa teruja, apa tidaknya setelah hampir 22 tahun lamanya tidak melihat sosok diva yang seorang ini beraksi lincah di atas sebuah panggung bersifat mega. Ziana Zain atau lebih mesra dengan ganti nama Kak Gee telah menjayakan dengan penuh meriah sebuah sesi eksklusif bertemu fanatika setia-nya pada 21 April yang lalu pada jam 3 petang bertempat di Sungei Wang Centre Court, Kuala Lumpur. Sesi Otograf Eksklusif itu adalah bersempena perayaan awal Ziana Zain Concert 2024 yang hampir sold-out laris manis terjual.

Dengan nada gembira, Ziana Zain memberitahu “Tiket yang tinggal hanyalah Diamond dan VIP sahaja. Masih boleh dapatkan tiket secara online sebelum terlambat ya. VIP pun tinggal limited, dah tak banyak. Kak Gee sangat teruja dan tak sabar hendak menghiburkan semua.” Tampil mempesona seperti biasa dengan aura diva yang menyerlah, Ziana Zain mengenakan busana blazer earth colour sedondon dengan celana.

Terkenal dengan sifat ramah dan merendah dirinya, Ziana Zain menyambung, “Kita nak bagi hype lagi konsert yang tinggal masa sebulan lagi, nak beri apresiasi pada peminat untuk dapatkan tandatangan eksklusif dan beramah-mesra. Semoga dengan sesi ini dapat menambah keghairahan dan keterujaan peminat menjelang konsert Kak Gee pada 25 Mei nanti.” Sesi eksklusif ini adalah dibawah anjuran Anuar Zain Network dan Ziana Zain Network dengan kerjasama Altus Prohouse.

“Malam itu nanti Kak Gee akan persembahkan 20 lagu yang lebih menjurus kepada nostalgia dan perjalanan cerita karier seorang Ziana Zain. Mungkin ada yang tanya kenapa lagu ni ada lagu ni takde, semua tu kita akan tengok segment by segment.” Dengan senyuman manis dan mata yang bersinar-sinar, Ziana Zain membayangkan konsep pada konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi. “Lebih banyak berkonsepkan Ziana Zain, lagu dan baju. Peminat Kak Gee ni suka nak tengok apa kak Gee pakai, bukan saja nak dengar lagu. Oleh itu, semua akan jadi surprise pada  malam konsert nanti.”

Tepat jam 3 petang, Ziana Zain muncul di atas pentas mini di ruangan Centre Court Sungei Wang Plaza bagai yang dijanjikan. Menghadiahkan sebuah lagu berjudul “Bersama Akhirnya”, rata-rata fanatika yang hadir turut sing-along dan begitu merindukan lagu yang diakui oleh Ziana Zain sudah sekian lama tidak didendangkannya. Tidak puas hanya sebuah lagu, ramai yang meminta lebih tetapi Ziana Zain telah ‘belanja’ sedikit rangkap lagu “Puncak Kasih” dan “Berpisah Jua” dan meminta peminat menyambung bait lirik lagu tersebut. Jangan panggil ‘Ziana Folks’ kalau tak dapat sambung lirik tu ya…

Ternyata memang ramai merindui kemunculan Ziana Zain setelah hiatus sekian lama. Tetap mantain dengan vokal padu bernada tinggi, masih kekal carta tertinggi dalam hati setiap peminat setia yang tidak sabar menantikan konsert pada 25 Mei 2024 nanti, lambang perjuangan Ziana Zain selama 3 dekad bergelumang dalam industri seni. Pastikan anda tidak terlepas momen-momen indah yang bakal dipersembahkan. Revolusi seorang permata seni negara yang memahatkan seluruh jiwa dan raganya pada industri penuh pancaroba ini akan dapat dilihat dengan persiapan teliti dan sangat rapi.

Terus gah dihormati dan disegani sebagai ikon seni yang memiliki vokal ‘trademark’ tersendiri, sehinggakan apabila beliau mula menyanyi secara automatis vokalnya dapat dikenali hanya pada note yang pertama, begitu sekali penangannya. Majlis petang itu kemudiannya diserikan dengan cabutan bertuah dan kemudian bermulalah Sesi Otograf. Peluang untuk bersua muka, selfie sekeping dua dan mendapatkan tandatangan eksklusif pada merchandise seperti cakera padat, poster, majalah, kad foto dan apa saja koleksi peribadi mereka.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk merealisasikan konsert ini, Kak Gee tidak melihat pada berapa besar pulangan yang akan diperolehi tetapi sangat terperinci mengenai konsep, stamina serta kepuasan yang bakal dihadiahkan buat para peminat Kak Gee kelak.” Sambil tersenyum bangga, beliau menyambung “Paling penting adalah kesihatan, kedua adalah stamina, ketiga adalah latihan dan keempat kita serahkan pada stylist kita. Apa yang paling penting mesti semuanya dalam keadaan sihat tubuh dan jiwa, baru semua perancangan menjadi. Semoga kita semua diberi kesihatan yang baik.”

Bersama akhirnya kita Menadah Gerimis untuk ke Puncak Kasih Ziana Zain di Sangkar Cinta yang Melara Jiwa dengan membeli tiket menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my/zianazain Jom segera beli tiket, jangan sampai anda yang rugi. Pastinya konsert solo Ziana Zain kali ini sangat teristimewa dan bakal meninggalkan Syurga Di Hati Kita.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page