November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Berita Gempa” Bakal Menggegar Johor

Spread the love

Ianya bukan sekadar spekulasi, malah “Berita Gempa” yang menjadi judul album terakhir kumpulan Sweet Charity bakal direalisasikan dalam naskah sebuah konsert yang bakal berlangsung di Johor pada 29 Julai nanti.

Konsert anjuran Megatix Malaysia itu akan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru itu pastinya akan menggembirakan peminat setia Sweet Charity, malah berpeluang untuk melihat mereka kembali beraksi selepas 11 tahun.

Datuk Ramli Sarip selaku penyanyi, Rosli Mohalim (gitar), Ahmad Jaafar (AJ) (keyboard) dan Rahman Sarbani (dram) akan tampil dengan kehebatan masing-masing.  

Ramli, 70, berkata, bukan tawaran lumayan yang menjadi tarikan untuk mereka beraksi dalam konsert yang ditunggu-tunggu ramai ini.

” Tawaran lumayan bukanlah menjadi keutamaan tapi detiknya yang mana kalau tak silap saya, Sweet Charity permulaannya tahun 1969 dan sehingga 10 tahun selepas itu baru ditawarkan merakam album pada 1978 dan kini kami sudah lebih 50 tahun dalam industri muzik”, ujar Datuk Ramli Sarip ketika ditemui media baru-baru ini.

“Konsert ini bukanlah sebuah ‘tribute’ tapi satu perjalanan yang kita nak kongsi dengan peminat dan juga pencinta seni mengenai perjalanan Sweet Charity, malah di kalangan anggota kumpulan juga masih lagi aktif dengan aktiviti seni masing-masing”, ujarnya.

“Saya rasa kita nak jadikan sesuatu yang adil kepada peminat. Walaupun dua anggota iaitu Syed Hassan dan Masrom dah meninggal dunia, tak bermakna kita tak boleh buat apa-apa. Itu dah sampai waktunya. Tapi sebagai contoh pemuzik undangan lain boleh ganti,” katanya.

Beliau memberi contoh kumpulan terkenal The Rolling Stones yang kehilangan pemain dram, Charlie Watts yang meninggal dunia dan Bill Wyman yang menarik diri, namun ia masih aktif digerakkan oleh Mick Jagger dan pemain gitar Keith Richards sehingga kini.

“Benda itu boleh berlaku. Lagipun tak banyak lagi kumpulan-kumpulan di Malaysia macam kami yang peminat nak tonton konsert. Itu satu benda yang manis bagi saya dan rakan-rakan sebab lagu yang ditinggalkan ada legasi tersendiri”, tambahnya.

Rosli Mohalim selaku gitaris turut melahirkan rasa terujanya dan bercerita bagaimana beliau boleh bersama dengan Sweet Charity dan dapat kembali beraksi dalam konsert kali ini.

“Secara peribadi, dah tiga empat tahun saya tidak beraksi bersama Sweet Charity. Saya dah bersama Sweet Charity dari tahun 1969 iaitu selepas tamat sekolah. Bila diberi peluang oleh Ramli dan arwah A Ali untuk terbabit, saya sangat teruja.”

“Setahun selepas itu, kami dapat peluang rakam album dan selepas itu saya terus berjuang dengan Sweet Charity sehingga 1985 menerusi album Berita Gempa,” ujarnya.

Konsert “Berita Gempa” pasti menjanjikan perjalanan nostalgia sambil mengimbau kenangan buat peminat setia mereka dan peluang menikmati muzik mereka secara langsung buat peminat baharu.

Konsert bakal menjelajah ke seluruh negara, dengan Johor Bahru sebagai destinasi pertama sebelum menuju ke Sabah, Miri, Langkawi dan Kuala Lumpur.

Peminat yang ingin menyaksikan persembahan Sweet Charity boleh mendapatkan tiket yang dijual bermula RM199 sehingga RM659.  Pembelian boleh dibuat menerusi www.beritagempa.live.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page