October 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Bengkel Akademi Rakan Muda: 10 Projek Belia Dipilih Terima Dana RM30,000

Spread the love

Seramai 50 peserta berbilang kaum dari seluruh Semenanjung, Sabah, dan Sarawak telah menghadiri Bengkel Akademi Rakan Muda yang berlangsung selama lima hari di Hotel Bayview, Melaka. Bengkel ini merupakan sebahagian daripada program inkubator impak sosial, Akademi Rakan Muda, yang bertujuan untuk memperkasa belia dalam mencipta perubahan positif kepada komuniti mereka.

Selain daripada itu, sebanyak 10 projek impak sosial yang dipimpin oleh golongan belia telah dipilih daripada 96 permohonan berdasarkan potensi impak yang mereka ingin bawa kepada masyarakat, selaras dengan gaya hidup Rakan Muda. Setiap projek terpilih akan menerima Dana Akademi Rakan Muda bernilai sehingga RM30,000 dan perlu melaksanakan projek dalam tempoh maksimum dua bulan.

Zul Imran Ishak, Naib Presiden Kanan Program & Pembangunan, Impact Malaysia, menyatakan bahawa masa depan yang mampan bergantung kepada belia yang berani bertindak untuk mengubah status quo. “Kami mahu belia bukan sekadar bercakap tentang perubahan, tetapi melaksanakan perubahan yang baik untuk komuniti. Akademi Rakan Muda menyediakan sokongan yang tepat agar setiap belia mampu mencipta impak yang bermakna dan berkekalan,” kata Zul Imran semasa majlis penutupan bengkel.

Ketua Pegawai Eksekutif Impact Malaysia, Ahmed Faris Amir pula menekankan pentingnya impak yang lebih mendalam daripada sekadar projek sementara. “Akademi Rakan Muda membuka peluang kepada belia untuk melaksanakan transformasi sosial yang berakar umbi dalam komuniti, berskala besar dan tahan lama,” katanya.

Projek Suara Bayu, diketuai oleh Rohaiza Rosli, adalah salah satu daripada 10 projek terpilih. “Kami ingin membawa ilmu muzik dari Semenanjung ke Sabah, supaya penggiat seni di Sabah lebih terdedah kepada industri muzik. Akademi Suara Bayu akan menjadi platform untuk berkongsi pengetahuan dan memberi peluang kepada penggiat seni di Sabah untuk berkembang,” kata Rohaiza.

Sementara itu, Idreena, peserta projek Bumi Tuba, berhasrat menangani masalah pembuangan minyak masak terpakai dengan mengubahnya menjadi sabun. “Kami mahu menunjukkan penyelesaian mesra alam dan membangunkan sistem rantaian produk dengan kerjasama Koperasi Pulau Tuba untuk memastikan impak jangka panjang,” jelasnya.

Akademi Rakan Muda turut melibatkan 10 orang mentor yang terdiri daripada pakar industri dan pemimpin komuniti seperti Melissa Idris, Rizan Hassan, dan Gjie Arlis, yang menawarkan bimbingan kepada setiap pasukan agar mereka mencapai matlamat projek masing-masing.

Akademi Rakan Muda adalah inisiatif Rakan Muda melalui Impact Malaysia yang merangkumi pelbagai fasa seperti jangkauan, bengkel, bimbingan mentor, serta pemantauan projek. Untuk perkembangan lanjut, ikuti @impactmsia di media sosial.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page