BCL Kembali Ke Kuala Lumpur Dengan Konsert ‘Eternal Love – Timeless Romance’ 27 September Ini

Kredit Foto: MegatzRevieW
Suasana penuh emosi dan aura romantis bakal menyelimuti Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) apabila penyanyi ikonik Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), kembali ke pentas Malaysia menerusi konsert eksklusif bertajuk ‘BCL: Eternal Love – Timeless Romance’ pada 27 September 2025.
Dianjurkan oleh Pulse Project Asia, konsert ini menjanjikan pengalaman muzik yang menyentuh jiwa, menghidupkan semula deretan lagu cinta BCL yang telah menjadi runut emosi buat ramai, antaranya Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, dan 12 Tahun Terindah.

“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan seni BCL menerusi lagu-lagu cinta abadi dan penceritaan peribadi, dipersembahkan dengan produksi bertaraf dunia,” ujar Muhammad Anuar Zaini, wakil penganjur Pulse Project Asia ketika sidang media pelancaran konsert berkenaan di Imperial Lexis Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.
Menurut Anuar lagi, sambutan hangat yang diterima daripada peminat tempatan menjadikan Kuala Lumpur seolah-olah rumah kedua bagi BCL, menambahkan lagi nilai sentimental persembahan istimewa ini.
BCL sendiri menyifatkan konsert ini sebagai ruang untuk meluahkan rasa cinta dan penghargaan secara langsung kepada peminat Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan seninya.

“Saya sangat teruja dan terharu dapat kembali ke Kuala Lumpur. Malaysia umpama rumah kedua buat saya, dan kehadiran peminat di sini sentiasa memberi inspirasi untuk berkongsi muzik dan kisah kehidupan saya,” ujarnya.
Konsert ini menampilkan seleksi lagu cinta ikonik seperti Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah, dan single terbaharunya Memulai Kembali.
“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik saya daripada lagu cinta abadi hingga ke cerita peribadi dengan sentuhan produksi kelas dunia yang saya impikan bersama Pulse Project Asia.” Katanya lagi.

Sebagai pelengkap malam penuh magis itu, dua figura hebat bakal tampil sebagai artis undangan – penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor, dan Dennis Lau, maestro violin yang terkenal dengan persembahan bertenaga dan memukau.
Tiket konsert kini boleh didapati menerusi Ticket2U, bermula pada harga RM259, dengan diskaun 10% untuk pembelian awal. Pembeli tiket eksklusif turut berpeluang menghadiri sesi ‘Meet & Greet’ bersama BCL serta menerima barangan edisi terhad bertandatangan.

Penganjur turut menasihatkan peminat agar mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan sebarang penipuan atau kerugian.
Dengan gabungan muzik cinta, penceritaan peribadi, dan elemen produksi bertaraf antarabangsa, ‘BCL: Eternal Love – Timeless Romance’ dijangka menjadi antara konsert paling menyentuh hati dan dinanti-nantikan dalam kalendar hiburan Malaysia tahun ini.