April 25, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Bayang-bayang di Layar: Kulit Wayang dan Gema Dosa yang Belum Selesai

Spread the love

Filem Kulit Wayang arahan Dain Said menyasarkan sesuatu yang lebih besar. Ia cuba mengetengahkan elemen warisan budaya tradisional Melayu melalui latar dunia wayang kulit, di samping menyelitkan unsur mistik dan konflik dalaman manusia. Berlatarbelakangkan sebuah kampung terpencil sekitar tahun 1980-an, filem ini mempertemukan tiga watak utama – Pak Lee, seorang tok dalang yang hidup terasing; Dian, penyelidik dari Indonesia; dan anaknya Dewi, yang akhirnya menjadi pusat kepada kejadian-kejadian luar biasa dalam kampung itu.

Secara struktur, Kulit Wayang cuba menggabungkan kisah psikologi, mitos tempatan dan kisah trauma silam. Watak Pak Lee diposisikan sebagai seorang individu yang hidup dengan rasa bersalah, dan Dewi pula menjadi pemangkin kepada pembongkaran sejarah yang tersimpan. Penceritaan bergerak perlahan, memberi ruang untuk penonton mengenali latar dan watak. Namun begitu, ada ketikanya fokus cerita menjadi tidak jelas – apabila naratif mula memberi terlalu banyak ruang kepada konflik antara Dian dan Dewi, tumpuan terhadap Pak Lee sebagai watak utama mula terjejas. Ini menjadikan penonton sukar untuk merasakan kesinambungan yang konsisten.

Babak-babak berkaitan mistik pula dibina dengan pendekatan yang tidak terlalu berlebihan. Namun, disebabkan naratif yang kadang kala terpecah, beberapa detik penting kehilangan kesan dramatik yang sepatutnya dapat memberikan impak emosi yang lebih kuat. Dari aspek kesinambungan dan kesepadanan jalan cerita, filem ini memerlukan lebih penyusunan yang kemas agar semua elemen yang dibawa dapat berkembang dengan lebih bermakna.

Dari segi visual, sinematografi filem ini memberikan gambaran suasana kampung yang terpencil dengan cukup berkesan. Pemilihan lokasi memberikan suasana yang autentik. Namun begitu, pencahayaan dan color grading yang digunakan tidak banyak membantu dalam menyampaikan suasana seram atau ketegangan. Beberapa babak yang sepatutnya menimbulkan rasa cemas atau takut tidak berjaya memberi kesan yang diharapkan kerana ton warna yang agak rata dan pencahayaan yang tidak cukup kuat untuk menyokong mood cerita.

Fattah Amin membawa watak Pak Lee dengan pendekatan yang sederhana. Namun terdapat kelemahan dari segi konsistensi penggunaan loghat Kelantan – satu aspek yang penting dalam membina kredibiliti watak dan suasana. Peralihan antara penggunaan dialek dan bahasa standard dalam dialog beliau menyebabkan persembahan watak terasa kurang meyakinkan. Watak Dewi pula, walaupun masih kecil, berjaya menarik perhatian melalui perubahan perilakunya yang perlahan-lahan menjadi pusat misteri dalam filem ini. Watak Dian sebagai ibu dan penyelidik hadir sebagai jambatan antara unsur intelektual dan emosional, namun kurang diberi ruang untuk berkembang dengan mendalam.

Walaupun terdapat kelemahan dari sudut penceritaan dan teknikal, Kulit Wayang mempunyai kekuatan pada niat serta kandungannya. Filem ini memperkenalkan seni wayang kulit bukan sekadar sebagai warisan pentas, tetapi sebagai elemen naratif utama. Ia mengangkat kembali nilai-nilai budaya tempatan dan mitos masyarakat Melayu, dengan pendekatan yang relevan untuk penonton hari ini. Usaha untuk mempopularkan semula unsur tradisional ini wajar dihargai, terutamanya apabila ia dikaitkan dengan isu-isu universal seperti rasa bersalah, keinginan untuk menebus kesilapan, dan trauma yang tidak selesai.

Kulit Wayang ialah sebuah karya yang memiliki cita rasa tersendiri – ia mahu tampil sebagai filem yang berwacana, bukan sekadar hiburan. Namun, dalam usahanya untuk mencantumkan unsur budaya, mistik dan emosi, terdapat beberapa bahagian yang tidak terikat kemas. Ia bukan filem yang mudah didekati oleh penonton arus perdana, tetapi bagi mereka yang menghargai filem berasaskan simbolisme dan lapisan makna, ia tetap memberi pengalaman yang berbeza. Walaupun tidak sempurna, Kulit Wayang masih layak diraikan sebagai salah satu usaha penting dalam mempersembahkan kembali seni tradisi ke pentas filem moden dengan pendekatan yang jujur dan bersahaja.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page