“Basstamam” Tarik Perhatian Awal di Media Sosial, Kukuhkan Langkah Syed Iqbal

Syed Iqbal dengan bangganya mengumumkan penandatanganan kontrak rasmi bersama label berteras keislaman Masyhur, di bawah naungan Universal Music Malaysia, sebagai langkah penting dalam pengembangan kerjaya dan jangkauan muziknya.
Menampilkan tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup, single debut beliau berjudul “Basstamam” kini menemui para pendengar dengan nafas segar, sarat emosi dan mesej yang menyentuh jiwa.
Dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik oleh Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh, Basstamam mengangkat mesej tentang pentingnya menenangkan dan menyokong insan tersayang sama ada sahabat, keluarga atau pasangan agar mereka dapat menikmati hidup tanpa dibebani tekanan.
Menurut Syed Iqbal, proses rakaman lagu ini berjalan lancar walaupun ada sedikit rasa gementar pada awalnya.
“Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini,” ujarnya penuh teruja.

Disusun indah oleh Wan Saleh dan diterbitkan bersama Amir Hufaz, Basstamam menampilkan susunan muzik yang menenangkan dan meresap ke dalam jiwa sesuai dinikmati ketika bersantai atau bermuhasabah.
“Saya harap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa ‘basstamam’ itu dalam hati. Kita semua perlukan ketenangan, dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji”, tambah Syed Iqbal.
Video muzik (MV) lagu ini turut melalui proses penggambaran yang mencabar namun mengujakan.
“Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya rasa bersemangat untuk menjayakannya,” jelasnya.
Pembikinan Basstamam mendapat sokongan sepenuhnya daripada tenaga kreatif yang berdedikasi dan ikhlas.
“Semua yang terlibat sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka,” kata Syed Iqbal.
Lebih menarik, lagu Basstamam telah mencipta fenomena awal di media sosial sebelum pelancarannya secara rasmi pada 30 Mei 2025. Di TikTok, ia telah mencatatkan lebih 20,000 ciptaan, manakala di Instagram pula melebihi 2,000 ciptaan. Para peminat turut mencipta trend organik yang dinamakan ‘Wahai Bulan Purnama’, iaitu trend transformasi visual yang menggambarkan perubahan positif dalam diri seseorang.
Kini tersedia di semua platform penstriman digital, termasuk YouTube rasmi Masyhur, Basstamam dijangka akan terus meraih perhatian khalayak dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan.
“Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” ujar Syed Iqbal menutup bicara.