Bandar Bintulu Bakal Menyaksikan Persembahan Sebuah Band Jerman Pada 16 Sept Ini
Di samping menyambut perayaan Hari Malaysia pada 16 September ini, bandar Bintulu di Sarawak juga akan menyambut penampilan Facepalm Nation, sebuah band atau duo dari Eropah yang memainkan irama fastcore / hardcore. Facepalm Nation akan mengadakan persembahan di sana pada tarikh yang sama di bandar tersebut dan penampilan mereka juga adalah bersempena dengan gig yang diberi judul ‘Metuk Ulau Fest The Trilogy’.
Menurut wakil jawatankuasa penganjuran acara, Adi Herman, beliau merasa amat teruja kerana dapat menyaksikan penampilan sebuah band dari Eropah seperti Facepalm Nation di Bintulu dan seperti biasa, beliau juga menjangka persembahan yang penuh bertenaga dari mereka.
“Ya, ada band Eropah dari negara Jerman (Facepalm Nation) akan membuat penampilan di Bintulu hujung minggu ini pada acara kami yang dikenali sebagai Metuk Ulau The Trilogy. Acara itu akan diadakan di Virgo @ Live 2.0, Parkcity Commerce Square bermula 1.30 petang,” katanya apabila dihubungi baru-baru ini.
Selain daripada Facepalm Nation, acara Metuk Ulau Fest The Trilogy turut akan dimeriahkan juga dengan penampilan band-band dari Sabah dan band tempatan Bintulu seperti Curse of God, Con-damn The Corruptor, BOIL – Beyond Our Imagined Lives, The Red Fire, Agony dan Order to Disobey.
Con-damn The Corruptor, BOIL – Beyond Our Imagined Lives, The Red Fire dan Agony semuanya berasal dari Kota Kinabalu, Sabah manakala Curse of God dan Order to Disobey pula berasal daripada Bintulu.
Selain daripada itu, Adi juga mendedahkan bahawa harga tiket masuk untuk acara tersebut adalah RM35 pada hari acara manakala para pengajur telah pun membuka tawaran tiket harga secara pre-sale pada harga RM25 sebelum 10 Sept tahun ini. Adi turut berkata terdapat juga jualan secara ‘grouping’ untuk gig Metuk Ulau Fest The Trilogy dengan harga RM115 untuk lima orang sahaja.
“Bagi setiap pembelian tiket Metuk Ulau Fest The Trilogy akan mendapat poster percuma dan lencana butang. Bagi mereka yang membeli tiket pra-jualan, anda boleh menuntut hadiah percuma ini di kaunter tiket kami semasa gig berlangsung,” kata Adi.
Metuk Ulau Fest The Trilogy adalah sebuah gig usahasama antara kumpulan penganjur The End-emic yang berpangkalan di Bintulu dan Punkcaroba Entertainment dari Kuching.