September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Bakat Kumpulan Kesenian Malaysia Menyerlah Di Eropah

2 min read
Spread the love

Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Kumpulan Kesenian Persadatari universiti tersebut telah memperolehi kemenangan berganda di Eropah apabila kumpulan tersebut berjaya merangkul tiga anugerah di pesta International Festival Dance Vitosha yang telah berlangsung di negara Bulgaria pada bulan lepas (Julai 2023).

Menurut ketua pusat kebudayaan dan kesenian UMT, Badruhisham Darus, Kumpulan Kesenian Persadatari UMT telah dipilih oleh Badan Gabungan Tari Malaysia untuk mewakili Malaysia ke International Festival Dance Vitosha, Bulgaria berdasarkan merit kejayaan UMT dalam pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa selama ini.

Tambahnya sebelum menyertai International Festival Dance Vitosha, Pusat kebudayaan dan Kesenian UMT telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan tarian melibatkan acara solo dan duo. Bagi kategori duo, UMT mempertaruhkan Tarian Rakyat Terengganu untuk acara tingkah pada pertandingan tersebut.

Pengarah International Festival Dance Vitosha Nicholas Nestorov (kiri) dilihat sedang menyampaikan anugerah kepada Badruhisham ketika pesta itu berlangsung di Bulgaria bulan lepas.

“Latihan intensif telah dilaksanakan selama sebulan bagi mendapatkan hasil yang mantap dan berkualiti dan dievolusikan dalam olahan baru bagi menjamin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah hasil usaha keras pasukan dan komitmen semua akhirnya pasukan ini berjaya merangkul tiga anugerah) iaitu juara Solo Tari Campuran (duo), tempat ketiga keseluruhan Tari Rakyat Antarabangsa dan Anugerah Persembahan Terbaik (overall Performance).

“Kejayaan ini merupakan kenangan manis bagi kami untuk warga UMT khususnya. Tanpa sokongan semua kami tidak mampu “terbang” sejauh ini,” ujarnya dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan oleh UMT baru-baru ini.

Seramai empat delegasi yang diketuai oleh Badruhisham sendiri, Perekatari Mohd Shareezad Abdul Satad dan dua pelajar/ penari iaitu Nur Afrina Nor Azemi dan Nur Izzah Mohd Khair terlibat secara langsung dalam pesta tersebut.

Selain daripada itu, Badruhisham dan Mohd Shareezad turut diberi penghormatan mewakili Malaysia menjadi juri bagi pertandingan Muzik dalam festival tersebut.

Untuk rekod, pesta International Festival Dance Vitosha yang berlangsung pada 9 Julai hingga 20 Julai lalu turut disertai oleh 20 buah negara dibawah gabungan Tari Antarabangsa. Selain itu juga perkongsian ilmu berkaitan UMT dan Malaysia turut diadakan sewaktu berlangsungnya pesta tersebut.

Pesta itu juga adalah salah satu daripada acara yang termasuk di dalam kalendar Kebudayaan Sofia untuk negara Bulgaria. Melalui pesta International Festival Dance Vitosha ianya merupakan peluang unik untuk warga Bulgaria membiasakan diri dengan tradisi muzik dan tarian negara-negara di seluruh dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page