September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Bakat Dari Amerika Di Bintang Lagu Klasik Iban 2023 Kini Menjadi Tumpuan

2 min read
Spread the love

Bagi mereka yang telah mengikuti perkembangan Bintang Lagu Klasik Iban 2023, sebuah pertandingan nyanyian anjuran Persatuan Anak Seni Iban Malaysia (Pasima), sudah tentu mereka akan sedar akan kehadiran seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang menyertai pertandingan tersebut. Mungkin pada peringkat awal pertandingan itu, ada yang berkata penyanyi tersebut hanya sekadar ingin dikenali sebagai seorang warga Amerika yang pernah menyertai sebuah pertandingan nyanyian lagu-lagu Iban dan tak akan melepasi peringkat awal pertandingan tersebut.

Walau bagaimanapun, setelah selesai peringkat awal pertandingan tersebut, adalah terbukti bahawa penyanyi tersebut sememangnya serius dalam minatnya dalam lagu-lagu Iban kerana beliau kini telah mara ke peringkat separuh akhir pertandingan tersebut.

Warga Amerika itu juga mempunyai nama yang menarik kerana namanya ialah Ethan Hunt, yang secara kebetulan adalah nama watak utama ikonik francais blockbuster ‘Mission Impossible’, lakonan pelakon terkenal Hollywood Tom Cruise.

Ethan sebenarnya adalah suami kepada Traisy Vivien Tukiet, bekas atlit terjun wakil negara yang pernah mewakili Malaysia di temasya Sukan Olimpik yang diadakan di London pada tahun 2012. Dia juga berkata isterinya berketurunan Iban-Bidayuh, dan hanya Iban yang dituturkan di rumah, justeru itu dia boleh bercakap bahasa Iban dengan baik.

Ethan bersama isterinya, Traisy, seorang bekas atlit acara terjun yang pernah mewakili Malaysia di Sukan Olimpik pada tahun 2012 yang diadakan di London.

Bagi Ethan, menyanyi dalam bahasa Iban adalah sesuatu yang menyeronokkan dan ia mencerminkan kecintaannya terhadap muzik. Berasal dari West Jordan, sebuah bandar di negeri Utah, AS, penyanyi berusia 24 tahun itu adalah antara 20 peserta separuh akhir Bintang Lagu Klasik Iban 2023.

“Menyanyi dalam bahasa Iban adalah sesuatu yang menyeronokkan and ianya adalah sumber hiburan saya sepanjang saya berada di Malaysia. Lagu-lagu nyanyian saya adalah lagu-lagu yang sering saya dengari sepanjang berada di Malaysia,” katanya kepada harian The Borneo Post baru-baru ini.

Mengenai penyertaannya dalam Bintang Lagu Klasik Iban 2023, Hunt berkata dia mendapat inspirasi daripada penyanyi Iban popular Ramles Walter untuk menyertai pertandingan itu, yang mengalakkan beliau untuk menyertai uji bakat terbuka Bintang Lagu Klasik 2023 yang telah diadakan pada Jun tahun ini. Menurutnya, Ramles adalah antara inspirasi utamanya dalam industri muzik Iban dan beliau berasa gembira mendapat sokongan daripada Ramles.

“Ini kali pertama saya menyertai pertandingan nyanyian di mana saya mara melepasi pusingan pertama,” katanya.

Mengulas mengenai latar belakang muziknya, Hunt berkata dia gemar bermain piano dan menyanyi, terutama sekali di dalam koir gereja agama Kristian. Dia baru menceburi bidang nyanyian solo baru-baru ini kerana ia adalah sesuatu yang dia sukai dan beliau suka menyanyikan lagu-lagu Iban.

Separuh akhir Bintang Lagu Klasik Iban 2023 akan diadakan di Langkau Arau Stutong, Kuching, Sarawak bulan depan (2 September ini), di mana 10 peserta terbaik akan dipilih untuk mara ke peringkat akhir pertandingan itu yang akan berlangsung di Dewan Pusat Ekumenikal di Jalan Stampin, Kuching, Sarawak pada 28 Oktober ini.

Ethan dilihat bersama presiden Pasima, Isa Lee, baru-baru ini.

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page