‘Bae Soba Bae’ Ada Penyambung! Eddie Hamid Pertaruh ‘Adek Saye Abe Sore’
Sentuhan berbisa komposer tersohor Eddie Hamid sekali lagi menjadi taruhan apabila beliau kembali menggandingkan duo sensasi Eda Ezrin dan Den Manjo menerusi single terbaharu berjudul Adek Saye Abe Sore.
Sebelum ini, kolaborasi mereka menerusi lagu Cinta Setandan Pisang atau lebih dikenali sebagai “Bae Soba Bae” mencetus fenomena luar biasa apabila meraih lebih 33 juta tontonan di YouTube, sekali gus melonjakkan nama kedua-dua penyanyi itu dalam industri muzik tempatan.
Kini, Eddie kembali dengan kesinambungan karya tersebut, kali ini bergandingan bersama komposer berbakat, Mekiya. Lagu baharu ini menampilkan kelainan apabila disuntik elemen muzik lebih moden tanpa meninggalkan identiti dikir barat yang menjadi kekuatan mereka.

“Lagu ini sebenarnya sudah siap lebih setahun lalu, tetapi saya simpan kerana situasi yang berlaku kepada Eda ketika itu. Walaupun ramai penyanyi lain berminat, saya tetap mahu ia dinyanyikan Eda kerana vokalnya sangat sesuai,” kata Eddie.
Menurutnya, kesinambungan konsep daripada lagu terdahulu menjadi faktor utama “Adek Saye Abe Sore” dihasilkan, dengan harapan mampu mengulangi kejayaan luar biasa sebelum ini.
Bagi Eda atau nama sebenarnya Wan Norsahidah Azlin Wan Ismail, peluang kembali bekerjasama dengan Den dan Eddie adalah sesuatu yang amat dinantikan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur masih diberi kepercayaan. Kami sudah serasi bekerja bersama, jadi proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa lama,” katanya.
Namun, di sebalik keterujaan itu, Eda mengakui tetap berdebar menantikan reaksi peminat.
“Memang ada rasa gemuruh sebab orang pasti akan bandingkan dengan lagu lama. Tapi saya harap pendengar boleh terima karya baharu ini dengan hati terbuka,” katanya.
Den Manjo atau Mohamad Hafizzudin Md. Yusof pula menyifatkan peluang ini sebagai satu rezeki besar yang tidak ternilai.

“Selepas sambutan hangat sebelum ini, saya memang tak sabar nak berduet lagi dengan Eda. Walaupun terpaksa tunggu lama, akhirnya jadi kenyataan,” katanya.
Single “Adek Saye Abe Sore” terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia bakal dilancarkan secara rasmi pada 26 Mac 2026 di semua platform penstriman digital.
Manakala video muzik rasmi pula akan ditayangkan lebih awal pada 25 Mac 2026, jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Kijang Music.
