January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Baby Shima Tampil Berbeza Dengan Single Dialek Kelantan, Bey Kelik Laa Bey

Spread the love

Penyanyi popular, Baby Shima, sekali lagi membuktikan versatiliti dan keberaniannya dalam industri muzik tempatan apabila tampil dengan single terbaharu berjudul Bey Kelik Laa Bey, yang mencuri perhatian kerana dirakam sepenuhnya dalam dialek Kelantan.

Menariknya, lagu ini menjadi pertama kali Baby Shima membawakan karya penuh dalam loghat negeri Pantai Timur itu, sekali gus menambah warna baharu dalam diskografinya yang sememangnya dikenali dengan kepelbagaian genre dan identiti.

Single Bey Kelik Laa Bey merupakan hasil ciptaan komposer tersohor Eddie Hamid, manakala liriknya digarap secara kolaboratif oleh Fadil Turbo, Mama Ana, Jaju dan Te Ha. Idea penghasilan lagu berdialek Kelantan ini tercetus susulan permintaan berterusan peminat yang kerap meninggalkan komen di media sosial Baby Shima.

“Ceritanya ringkas saja. Ramai orang Kelantan selalu komen, ‘Shima, cuba la nyanyi lagu Kelate sikit!’. Lama-lama saya pun terpengaruh. Dialek Kelantan ini unik, walaupun orang marah pun bunyinya tetap comel,” katanya sambil tersenyum.

Mengakui cabaran menguasai sebutan yang tepat, Baby Shima berkata beliau mengambil masa lebih seminggu untuk berlatih secara intensif sebelum rakaman dilakukan. Malah, sesi rakaman turut diwarnai beberapa insiden lucu.

“Kadang-kadang loghat Semenanjung terkeluar juga, jadi rasa tak sedap. Ada masa tersasul, terutama bila lapar. Tapi bila makan budu, terus ‘on’ balik dialek Kelantan,” katanya berseloroh.

Bercerita mengenai kerjasama dengan Eddie Hamid, Baby Shima menyifatkan komposer itu sebagai seorang yang sangat tenang, sabar dan mudah didekati, sekali gus menjadikan proses rakaman berjalan lancar.

“Dalam studio, dia cikgu, saya pula murid yang suka buat lawak. Dari sebutan sampai panduan vokal, semuanya dia ajar satu per satu. Abang Eddie memang penyabar, mungkin sebab dah ‘immune’ dengan perangai saya,” katanya ketawa.

Dari segi penceritaan, Bey Kelik Laa Bey mengangkat kisah pilu seorang wanita yang kecewa dan merindui kekasihnya selepas dikhianati dengan harapan palsu. Lagu ini merakamkan luahan hati yang terluka, namun masih mengharap agar insan yang pergi kembali semula.

Single ini diterbitkan oleh Kijang Music dan diedarkan oleh Nova Music, serta boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik bermula 31 Disember 2025, tepat di ambang tahun baharu.

Sementara itu, video muzik rasmi lagu ini bakal disiarkan secara perdana di saluran YouTube Kijang Music pada hari yang sama, jam 8 malam.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page