Baale Tampil Lebih Jujur Di Pentas Kuala Lumpur

Dunia seni menyaksikan satu transisi berani apabila aktor dan pemuzik terkenal Indonesia, Iqbaal Ramadhan, tampil memperkenalkan persona pentas baharunya, Baale, menerusi konsert sulungnya di Malaysia Baale: Fortuna Live in Kuala Lumpur — yang telah berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Jun lalu.
Langkah menukar nama pentas bukanlah sekadar strategi penjenamaan, sebaliknya mencerminkan perjalanan peribadi dan jati diri seniman yang sudah lebih satu dekad bertapak dalam industri hiburan Asia Tenggara.
“Saya ingin hadir dengan karya yang paling jujur, tanpa penapisan. Baale adalah ruang di mana saya dapat mengekspresikan sisi terdalam diri saya secara bebas dan berdikari,” ujar Iqbaal ketika ditemui dalam satu wawancara eksklusif sebelum konsert berlangsung.
Sebelum dikenali luas sebagai pelakon, Iqbaal terlebih dahulu menempa nama dalam bidang muzik sebagai anggota kumpulan remaja Coboy Junior, yang mencipta fenomena besar di Indonesia. Meskipun kumpulan itu dibubarkan pada 2017, cintanya terhadap muzik terus mekar dan kini diterjemah sepenuhnya ke dalam projek solonya sebagai Baale.

Pada Mei 2024, beliau melancarkan album solo sulung berjudul Fortuna yang diterbitkan bersama penerbit ternama Hendra Jayaputra dan barisan pemuzik berpengalaman. Album yang mengandungi 11 lagu berinspirasikan bunyi BritPop itu mengetengahkan tema-tema seperti harapan, kehilangan dan pencarian makna kehidupan atau lebih tepat ianya adalah naratif yang dekat dengan jiwa generasi muda hari ini.
“Fortuna adalah tentang fasa muda yang penuh kesunyian, mimpi, dan pencarian jati diri. Saya harap pendengar di Malaysia dapat mengenali siapa Baale sebenarnya melalui karya ini,” ujarnya


Konsert di Kuala Lumpur itu meupakan penampilan langsung pertamanya di Malaysia sebagai penyanyi solo yang dilihat cukup intim dengan khalayak. Selain persembahan yang sarat emosi bertemasya bersama muzik tulus dambaannya.
Dengan Fortuna, Baale tidak sekadar hadir membawa lagu, tetapi menawarkan satu pengalaman introspektif yang mengajak pendengar untuk turut sama menelusuri perjalanan seorang anak muda yang memilih untuk jujur terhadap dirinya meskipun berisiko.