November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Azmi Saat Ber’majnun’kan Layla

Spread the love

Oleh : Rafidah White Abu Samah

Setelah dua tahun sepi tanpa sebarang karya, Majnun kini muncul sebagai taruhan terbaharu Azmi Saat untuk projek solo perjalanan seni sang penyanyi ‘Caliph Buskers’.

Sesi pra-dengar dan pelancaran Majnun diadakan di hadapan panggung wayang ikonik Coliseum dengan kehadiran pihak media yang kekal tidak berganjak meskipun langit sedang menangis. Alunan vokal penuh perasaan Azmi Saat seolah-olah turut sama mencurah ‘lebat’ kerinduan di sepanjang tempoh sepi beliau.

Tercetus tanda tanya akan siapakah gerangan yang bernama Majnun? Pada siapakah single terbaharu ini ditujukan dan apakah yang telah berlaku pada Azmi Saat sepanjang tempoh dua tahun lalu?

Kata Azmi Saat, bait-bait ungkapan di lembaran Majnun seolah bercerita perihal pahit yang terpaksa ditelan. “Umpama sebuah ‘keGILAan (Majnun)’ sang hati yang mencintai namun terhalang dari memiliki. Hanya bayang dibuai mimpi kerana mencintai itu tidak semestinya perlu memiliki, dan tak semua yang dimiliki itu dicintai. Walaupun perih, namun itu adalah keindahan cinta yang sejati, rasa yang tersemat mati di dalam hati, selamanya.”

Pemilik vokal luar biasa ini turut menyatakan sepanjang penghasilan Majnun, beliau telah mencuba sebaik mungkin untuk menyatukan segala perasaan dan emosi demi menyampaikan cerita yang dapat menambat sanubari pendengar.

Pengurus Besar MAP Music pula menyifatkan lagu Majnun ini mempunyai aura yang tersendiri dan Azmi Saat merupakan penyanyi yang paling sesuai untuk menyampaikannya kerana kemahiran beliau menjiwai sesebuah naskhah memang mengagumkan.

Single Majnun oleh Azmi Saat kini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube MAPMUSIC. Ia juga boleh dimainkan dan didengari melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer, TikTok dan juga YouTube Music.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page