November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Awie Janji Konsert ‘Journey’ Sarat Dengan Elemen Monolog dan Teaterikal

Spread the love

Oleh : RafidahWhite AbuSamah

Konsert ‘Journey’ Awie yang akan berlangsung pada 3 Ogos depan bakal menjadi pentas terakhir buat penyanyi dan pelakon Datuk Awie untuk beraksi sebagai penyanyi solo.

‘Journey’ yang menggabungkan monolog dan teatrikal itu akan menjadi ‘aras tertinggi’ buat kenangan peminat dan Datuk Awie sendiri yang menyifatkan bahawa ini adalah konsert solo terakhir buat dirinya.

“Konsert ini bakal meninggalkan satu kenangan yang paling manis buat semua peminat. Tema dan konsep unik yang tidak pernah dipersembahkan sebelum ini merupakan bingkisan yang begitu peribadi dari saya untuk semua.  Hanya yang terbaik untuk semua peminat yang hadir pada 3 Ogos nanti.” katanya.

Selain itu peminat bakal disajikan dengan lebih 30 lagu-lagu popular yang mengimbau kenangan terutama dari album-album solo, dan album Wings, termasuk album Awie (1994), O-Tak (1996), Satu (1998), Rentap (2000), dan Santai (2005).  Untuk rekod, pemilik nama Ahmad Azhar bin Othman ini turut memegang rekod Album Solo Artis Lelaki Paling Laris di Malaysia.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, keputusan tersebut dibuat bagi mengurangkan beban komitmen sebagai anak seni dan memberikan lebih tumpuan terhadap keluarga.

“Saya kehilangan banyak masa bersama keluarga. Kadang kala bila anak saya ada majlis konvokesyen atau terima anugerah, saya tak dapat datang. Isteri saya sahaja yang datang dan saya terpaksa bekerja. Anak sakit demam pun saya masih di luar jalani penggambaran.

“Jadi, saya mula terfikir, kenapa saya nak jadi tamak sangat? Sedangkan saya masih boleh meneruskan kehidupan walaupun hanya dengan Wings.

“Bila berakhirnya konsert solo ini, kuranglah sikit komitmen saya. Kini saya boleh fokus pada keluarga, Wings dan lakonan sahaja,” ujarnya ketika ditemui di majlis sidang media Konsert ‘Journey’ Awie yang berlangsung di Maristar, Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, anak-anak tidak akan merungut di hadapan saya. Mungkin dia akan bercakap dengan ibu mereka. Saya yang terasa sendiri sebenarnya.

“Jadi, saya kena berubah. Sementara Allah masih berikan saya kesihatan walaupun banyak nikmat yang telah ditarik, baik saya buat sesuatu sebelum saya sakit teruk dan tak boleh buat apa yang mereka mahukan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Awie akui banyak perkara yang harus dikorbankan untuk bergelar anak seni.

“Sebagai penghibur, walau apapun yang terjadi, kita tetap perlu naik ke pentas, terpaksa senyum dan hiburkan orang. Tapi hati dan perasaan kita, siapa yang hiburkan?

“Ini adalah perkara yang orang tak pernah ambil tahu. Tiada yang nak kupas hati dan perasaan seorang penyanyi. Kalau mereka sedang bersedih, macam mana mereka nak menghiburkan orang.

Awie turut berkongsi keadaan kesihatannya belum pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan membuang tumor di bahagian pinggangnya pada tahun 2021.

“Apa yang boleh saya katakan, keadaan saya sekarang okey, Alhamdulillah. Nak kata pulih sepenuhnya tidak. Tapi nak lakukan konsert selama dua tiga jam itu masih mampu melakukannya.  Bukan apa, pada saya melakukan konsert dan berada di atas pentas merupakan terapi buat minda saya,” tambahnya.

Samsul Kamal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TruePixel Sdn Bhd turut berkongsi keterujaan peminat untuk menyaksikan konsert solo Awie

 “Ramai yang menantikan konsert solo Dato’ Awie sehinggakan tiket bagi beberapa kategori telah pun habis dijual dalam beberapa jam sahaja selepas dilancarkan. Malah, laman web kami juga mencipta rekod menerima jumlah kunjungan yang paling tinggi pada jam pertama tersebut. Kami telah mula menjual tiket seminggu lebih awal bagi mereka yang membuat pra-pendaftaran dan pada masa yang sama menikmati diskaun bagi setiap pembelian”, ujarnya

Konsert ‘Journey’ akan menampilkan barisan pemuzik handalan seperti Rozario Rasul yang akan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik yang juga bertindak sebagai pemain keyboard, Manakala pemain gitar pula ialah Ritz MetalAsia (Guitar 1). Addy Cradle (Guitar 2), Fly Halizor (Bass), Ujang Exist (Drum), dan Pa’ang Zaman (Percussion).

Untuk rekod, Awie merupakan artis tempatan pertama yang dipilih sebagai rakan Maybank bagi konsert ini.  Pemegang kad Maybank akan menikmati potongan harga 10% untuk semua pembelian tiket menggunakan kad Maybank.

Selain itu, pembeli tiket juga boleh membuat pembayaran sebanyak 50% terlebih dahulu dan melunaskan baki selebihnya seminggu sebelum konsert bermula.

Peminat boleh memilih beberapa kategori tiket telah iaitu ROYAL BOX: RM1500 (beserta meet and greet), VIP+: RM1500 (beserta meet and greet), VIP: RM1000, DIAMOND: RM700, PLATINUM: RM418, GOLD: RM288 dan SILVER: RM218. Bagi memenuhi permintaan ramai, penganjur turut memperkenalkan kategori tikel terbaru iaitu RUBY yang berharga RM518 yang kini boleh dibeli melalui laman web rasmi iaitu www.pixeltix.com.my


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page