Aurelia Syaharani, Perkenal Single Debut “Mungkin Hanya Kamu”

Universal Music Indonesia memperkenalkan bintang baharu berbakat, Aurelia Syaharani, yang melancarkan single debutnya bertajuk “Mungkin Hanya Kamu” pada 9 Mei 2025.
Lahir di Jember pada 13 Januari 2007, Aurelia Syaharani atau mesra disapa Aurel, merupakan pendatang baru yang mencuri perhatian dalam industri muzik Indonesia. Gadis berbintang Capricorn ini datang dari keluarga pemuzik, menjadikan bakat nyanyian sebagai warisan semula jadi yang menyerlah sejak usia muda.
Single pertamanya, “Mungkin Hanya Kamu”, membawa kisah cinta remaja yang tidak kesampaian , ketika satu pihak telah melangkah ke hadapan bersama orang lain, manakala seorang lagi masih terperangkap dalam memori lalu, mempercayai hanya bekas kekasihnya yang benar-benar memahami dirinya. Sarat dengan tema patah hati, kerinduan dan kesulitan melepaskan, lagu ini disampaikan dalam susunan muzik medium upbeat yang segar dan mudah dihayati.
Menariknya, Aurel turut terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu ini bersama Clara Riva dan Tintin (Martinus Layardo).
“Saya sangat gembira dapat menulis lagu ini bersama Kak Clara dan Kak Tintin. Ramai rakan seusia saya pasti boleh relate dengan lagu ini,” ujar Aurel.
Dari segi penerbitan, lagu ini diterajui oleh produser ABRAM dan Tintin, yang berjaya menyesuaikan susunan muzik agar seimbang antara rasa sedih dan nuansa moden. Hasil akhirnya menonjolkan karakter vokal Aurel yang matang dan penuh emosi.
“Saya sangat sukakan hasil akhirnya. Aransemennya sangat bagus dan betul-betul sesuai dengan karakter vokal saya,” tambahnya.
Sebagai pelengkap, “Mungkin Hanya Kamu” turut dilancarkan bersama video muzik arahan Benny Lim, yang menampilkan sisi lakonan Aurel dalam menyampaikan naratif lagu. Babak-babak “galau” dalam video ini memperlihatkan keupayaannya menghidupkan emosi dengan jujur dan menyentuh hati.
“Penggambaran sangat menyeronokkan dan berjalan lancar. Saya cuba benar-benar menghayati watak agar penonton yang pernah putus cinta atau sukar move on boleh rasa apa yang saya sampaikan,” jelasnya.
Sebelum bergelar artis rasmi Universal Music Indonesia, Aurel telah mencipta nama menerusi dua single indie dan beberapa video cover lagu popular di media sosial. Salah satu cover yang mencuri perhatian ialah lagu “Bukan Untukku” oleh Tiara Andini, yang juga merupakan kakaknya.
Dengan teknik vokal yang unik dan penuh emosi, persembahan Aurel menerima pujian ramai netizen, membuktikan keistimewaannya sebagai penyanyi muda yang memiliki identiti tersendiri.

“Bila ditawarkan untuk menyertai Universal Music Indonesia, saya sangat teruja. Ini merupakan impian besar saya yang menjadi kenyataan. Keluarga saya sangat menyokong minat saya dalam bidang nyanyian sejak kecil,” katanya.
“Saya berharap ‘Mungkin Hanya Kamu’ diterima baik oleh ramai pendengar, dan melalui debut ini, karya-karya saya selepas ini juga akan mendapat tempat dalam hati masyarakat,” tambah Aurel.
Dengan bakat semula jadi, kehadiran yang mempesona dan komitmen tinggi terhadap seni, Aurelia Syaharani bersedia mengukir namanya sebagai bintang muda yang bersinar dalam industri muzik Indonesia.