September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aura Ziana Zain

3 min read
Spread the love

Oleh:  Sakka Emwai

Selepas 22 tahun tidak mengadakan konsert, Ziana Zain memukau lebih 5,000 peminat pada “ CSA Mempersembahkan Ziana Zain Concert 2024” yang berlangsung di Mega Star Arena pada 25 Mei lalu. Kali terakhir mengadakan konsert solo menerusi Ziana Zain In The Park yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001.

Meskipun pada awalnya agak gementar setelah sekian lama tidak tampil dengan konsert solo.  Ziana Zain yang berpengalaman lebih dua dekad bergelar penghibur menggunakan segala kemahirannya agar dirinya kekal tenang untuk meneruskan persembahan dan masalah tersebut berjaya diatasi di atas pentas.

Perkara ini dapat dilihat malah turut dirasai penonton ketika Ziana Zain berasa ‘kurang selesa’ dengan ‘ear monitor’ sewaktu di awal persembahannya.

Konsert yang berlangsung selama dua jam lebih itu  turut memaparkan kisah suka duka kehidupan beliau sebagai seorang anak seni.

Seluruh ruang konsert bergema dengan nyanyian ‘karaoke’ oleh penonton yang hadir.  Konsert yang dipersembahkan oleh CSA Academy selaku penaja utama ini dan ianya juga merupakan anjuran Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd dengan kerjasama Altus ProHouse.

Sesuatu yang cukup menarik mengenai diri ‘seorang Ziana Zain’ adalah, beliau mampu mempersembahkan lebih 20 buah lagu  di sepanjang konsert yang dua jam lebih tanpa adanya ‘medley’.  Ianya sekaligus memaksa para penonton larut dengan seleksi lagu-lagu yang di sampaikan antaraya Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Berpisah Jua,, Dingin, Kekal Dan Puncak Kasih.

Ziana Zain turut menyifatkan bahawa kejayaan konsert solo tersebut juga merupakan penyuntik semangat buat dirinya untuk meneruskan kerjaya nyanyian dan kini dia percaya usia bukanlah satu penghalang.

“Kini saya tidak sangsi lagi. Belum cuba, belum tahu. Awalnya saya sendiri kurang yakin. Boleh ke pada umur 56 saya menyanyi 20 buah lagu. Selepas konsert malam ini, ia menjadi booster dan memberikan semangat untuk terus buat persembahan selepas ini. Kalau ada rezeki yang Allah berikan, saya akan teruskan,” ujarnya usai konsert tamat.

Dalam pada itu, kehadiran ramai peminat dari beberapa negara lain seperti Brunei dan Singapura membuatkan dirinya sangat dihargai.

“Saya sangat terharu dengan setiap sokongan daripada peminat lebih-lebih lagi ada yang ‘terbang’ dari pelbagai negara lain. Kehadiran mereka juga merupakan satu apresiasi paling besar buat saya sebagai seorang penyanyi,” ujarnya lagi.

“Saya sangat terharu dan sangat berterima kasih dengan kehadiran para peminat yang telah menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya selama ini.  Juga kepada pihak media yang sentiasa membantu saya dalam perjalanan karier dan tidak putus-putus membantu mempromosikan konsert ini,” ujar Ziana.

Sudah pasti momen bapa Ziana Zain membuat panggilan telefon menjadi momen paling indah buat khalayak, namun bagi Ziana dia menyifatkan bahawa perkara itu adalah ‘lumrah biasa’ sepanjang kariernya sebagai penyanyi.

“Boleh bayangkan pada usia sekarang, seorang ayah yang sudah berumur 83 tahun akan sentiasa ‘check‘ keadaan anaknya”, ujar Ziana

“Perkara paling awal dia akan tanya ialah siapa melakukan solekan dan busana pereka fesyen mana yang saya gayakan pada malam ini.  Saya tak pernah merasakan kerisauan abah sebagai satu beban ditambah pula dia memang selalu akan menangis dan sentiada berdoa agar anak-anak sentiasa bahagia”, katanya.

Pada malam tersebut juga, Ziana menggayakan tiga pasang busana hasil rekaan pereka fesyen terkenal tempatan iaitu Rizman Ruzaini, Rizalman dan Ezuan Ismail.

Bersama nama-nama hebat dalam industri yang mengembleng tenaga, kreativiti dan antusias dalam konsert ini, pentas meriah ini menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai Pengarah Muzik serta pemain piano manakala Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert.

Konsert itu juga menyaksikan gandingan hebat pemuzik-pemuzik tanah air seperti Nan Alias (gitar), Wan Gigi (gitar), Gideon (bass), Derrick Siow (dram), Firdaus (keyboard), Steve Thornton (perkusi) serta Mariam, Fazira dan Affan sebagai penyanyi latar.

“CSA Mempersembahkan Ziana Zain Concert 2024” turut disenyawakan melodi yang disempurnakan dengan kehadiran barisan pemain violin iaitu Brian Larson, Ergys Koni, Mabel Wong, Melanie Ooi, Jacqueline Tan dan Joey Young.

Juga diserikan dengan kehadiran Toko Inomoto (viola), Jonathan Oh (Cello) serta Zachary Suwito selaku protools operator.

Selaku pihak penganjur, Anuar Zain bagi pihak Anuar Zain Network Sdn Bhd turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures diatas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik bagi menjayakan konsert itu.

Ziana turut mengumumkan berita gembira iaitu bakal mengadakan konsert yang sama di Singapura. Konsert itu bakal diadakan di The Star Theatre pada 28 September depan.


Spread the love

1 thought on “Aura Ziana Zain

Comments are closed.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page