‘Aura’ Siti Nurhaliza dan Judika
24 Ribu Penonton ‘Banjiri’ Stadium Merdeka Sempena Konsert ‘The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza’
Kredit Foto: Subky Kelkatu TV
Sememangnya gelaran ‘Biduanita Negara’ itu layak buat Datuk Seri Nurhaliza, buktinya tampak nyata apabila berjaya ‘menyihir’ 24,000 penonton yang hadir ke Konsert ‘The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Sti Nurhaliza’ yang telah berlangsung dengan meriah di lokasi ikonik negara, Stadium Merdeka pada 14 Disember lalu.
Meskipun konsert bermula pada jam 9 malam, namun peminat telah mula ‘membanjiri’ lokasi sejak jam 3 petang lagi. Kemeriahan konsert di tambah dengan kehadiran khalayak yang mengikut tema iaitu ‘Putih dan Denim’ sekaligus menambahkan aura konsert.
Keterujaan penonton terlebih dahulu ‘ditenteramkan’ dengan persembahan Faizal Tahir, dia yang terkenal dengan julat vokal dan persembahan nyanyian penuh tenaga, nyata tidak menghampakan penonton yang hadir. Faizal cukp antusias pantas menjebak khalayak dengan barisan lagu popularnya seperti Maharkarya Cinta, Sampai Syurga dan medlyey (Santai dan OK).
Suasana semakin tidak terkawal dek jeritan dan pekikan penonton yang cukup setia, meskipun terpaku di bangku masing-masing ianya tidak sedikit pun membuat mereka histeria.
Fanatisme Judika yang seakan sudah bersedia untuk ‘galau’ dan tenggelam dengan lontaran vokalnya kini redho. Lebih 12 buah lagu ‘didodoika’ Judika secara solo yang turut bergentayangan bersama untaian melodi dan lirikal yang menghambat jiwa.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Bukan Rayuan Gombal, Sampai Akhir, Jikalau Kau Cinta, Aku Yang Tersakiti, Putus atau Telus dan sebagainya. Judika juga turut menyampaikan medley Mencari Alasan (Exists) dan Rindu Serindu Rindunya (Spoon) sekaligus membawa khalayak melungsuri nostalgia bersama dua buah kumpulan yang cukup terkenal itu.
Judika turut melahirkan rasa gembiranya kerana menjadi antara penyanyi dari Indonesia yang bertuah dapat beraksi di stadium bersejarah tersebut dan beraksi bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Ini impian saya untuk beraksi di Stadium Merdeka dan syukur sudah menjadi kenyataan. Dapat satu pentas bersama Siti sekali lagi juga satu momen yang hebat,” ujarnya.
Keterujaan penonton sudah pasti ingin menyaksikan persembahan penyanyi nombor satu negara itu. Hadir berbusana putih menyerlahkan lagi ‘aura’ yang dimilikinya. Tidak perlu kata bicara, Siti menyapa khalayak dengan rangkaian lagu-lagu yang sudah semestinya dekat di hati fanatikanya.
Bukan Cinta Biasa, Kesilapanku Keegoanmu, Siti Situ Sana Sini & Ku Milikmu (Medley), Diari Hatiku &Bicara Manis Menghiris Kalbu (Medley) adalah antara lagu-lagu yang beliau sampaikan.
Tidak terhenti disitu, Siti terus menghipnosis khalayak dengan untaian melodi Irama Malaysia seperti Hati Kama, Ya Maulai dan Balqis yang sudah pasti mengundang nyanyian bersama di antara penonton sekaligus membuat seluruh Stadium Merdeka ‘pecah’.
Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Tarudin, 45, teruja melihat kehadiran para penonton selain sempat memberi bayangan bakal mengadakan konsert solo pada tahun depan.
“Konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil sebelum ini boleh memuatkan seramai 12,000 penonton tetapi hari ini, dihadiri 24,000 penonton. Alhamdulillah, terima kasih kepada semua. Kalau saya adakan konsert lagi tahun depan ada yang akan hadir lagi?” ujar beliau.
Cuaca yang cukup baik seakan mengiringi Konsert ‘The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza’. Malam yang dingin terus dihangatkan dengan persembahan duet diantara Siti Nurhaliza dan Judika.
Meskipun hanya 5 buah lagu namun ianya seakan ‘battle’ yang menguji kekuatan vokal masing-masing. Nyanyian sudah menjadi karier mereka, justeru itu tidak hairanlah mengapa masing-masing membawakan lagu-lagu yang menjadi wadah halwa telinga pendengar.
Antara lagu yang dipersembahkan adalah Kisah Kuinginkan, Bukan Dia Tapi Aku/ Wajah Kekasih, Buih Jadi Permaidani/Hal Hebat, Setengah Mati Merindu/ Nirmala serta sebuah lagu saduran daripada kumpulan Search Fantasi Bulan Madu.
Selain persembahan memukau, Siti dan Judika turut membuat kejutan dengan menaiki kereta sport mengelilingi stadium sebelum memulakan konsert anjuran Universe Gateway itu. Konsert yang berdurasi hampir 3 jam itu turut dilatari dengan sistem pencahayaan yang cukup dinamika, sistem audio yang berkualiti serta mainan ‘video mapping’ yang melatari setiap persembahan.
Klimaks kepada Konsert ‘The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza’ adalah pertunjukan bunga api berskala besar selama beberapa minit di samping pencahayaan dari Menara Merdeka 118.