Aura Siti Nurhaliza Buat David Foster Terkasima
Aura penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ternyata cukup membuat David Foster ‘pegun’ dengan kemampuan vokalnya ketika beliau menyampaikan lagu ‘The Power Of Love’ yang di popularkan oleh Celine Dion.
Siti bukan sahaja berjaya memukau David Foster malah hadirin yang hadir meyaksikan konsert Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023 yang telah berlangsung di Mega Star Arena, Sungei Wang pada 7 Ogos lalu. Suasana lokasi gamat dengan tepukan gemuruh daripada 3000 hadirin yang turut menyaksikan momen indah itu.
“Saya pernah berkolaborasi bersama David Foster sembilan tahun lepas. Alhamdulillah doa saya untuk bergandingan sekali lagi dengan beliau di atas satu pentas yang sama telah dimakbulkan,” ujar Datuk Seri Siti Nurhaliza usai persembahan.
“Beliau mempunyai suara yang sangat merdu,” kata David, 73, yang merupakan pemenang 16 Anugerah Grammy termasuk tiga Penerbit Tahunan Terbaik, pada konsert amal anjuran Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) itu.
David kemudiannya mengiringi Siti Nurhaliza ketika beliau menyampaikan lagu ‘Sehebat Matahari’ yang di petik daripada album terbarunya “SITISM”.
Selain Siti Nurhaliza, konsert berkenaan turut menampilkan barisan penyanyi antarabangsa seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allref, Katharine McPhee dengan kesemua mereka menyanyikan lagu hit sentuhan magik komposer dari Kanada itu.
Lebih 15 lagu karya David dipersembahkan pada konsert berdurasi dua jam itu antaranya When A Man Loves a Woman, Beauty and the Beast, If Ever You In My Arms Again, Can You Stop The Rain dan Cry Me A River.
Terdahulu, Siti sebelum ini juga pernah menjadi perhatian netizen kerana membawakan lagu klasik tamil berjudul Munbe Vaa pada konsert A. R Rahman – Secret of Success – Live in Malaysia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Januari lalu.
Turut hadir memeriahkan konsert ini adalah Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Al-Sultan Abdullah Ri-Ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Toh Puan Datuk Seri Utama Khadijah Mohd Noor (Isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Mukhriz (Putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), Tunku Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra (Puteri kepada Pemangku Raja Perlis), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (Ketua Menteri Melaka) dan Datuk Sri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Undang-Undang & Reformasi).