October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ASTRA Terima SIRIM IEC 60095: Bateriku Pacu Inovasi Tempatan, Revolusi Automotif Digital Bermula

Spread the love

SHAH ALAM, 8 Ogos 2025 – Bateriku (M) Sdn. Bhd., jenama tempatan yang semakin mencuri tumpuan dalam industri automotif negara, mencipta sejarah tersendiri dengan pelancaran rasmi ASTRA — rangkaian bateri automotif berteknologi tinggi yang kini menjadi satu-satunya jenama di Malaysia mendapat pensijilan penuh SIRIM IEC 60095 untuk kesemua 28 SKU produknya.

Disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hanafi Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), majlis pelancaran yang berlangsung di ibu pejabat Bateriku, Kampung Baru Subang itu disaksikan oleh wakil-wakil kanan SIRIM, rakan strategik serta pemain industri automotif tempatan.

Pensijilan ini melibatkan tiga kategori utama bateri iaitu Maintenance Free (MF), Enhanced Flooded Battery (EFB) dan Absorbent Glass Mat (AGM). Sekaligus memperkukuh lagi kedudukan ASTRA sebagai produk berstatus antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Tuan Haji Azarol Faizi Zakaria Ansari, pencapaian ini adalah hasil pemahaman terhadap keperluan pengguna serta pelaksanaan ekosistem digital-fizikal menyeluruh. Lebih 1 juta unit ASTRA telah terjual sejak tiga tahun lalu, disokong oleh jaringan 225 Pitstop, lebih 1,500 BHero (juruteknik gig bergerak), dan lebih 100 BPreneur (usahawan automotif).

“ASTRA bukan sekadar bateri tetapi ia simbol komitmen terhadap kualiti, ketenangan minda, dan sistem sokongan selepas jualan,” jelas Azarol.

Menariknya, ASTRA menawarkan sistem waranti nasional berpusat yang membolehkan pengguna membuat tuntutan secara terus, tanpa membebankan pengedar atau mekanik. Tambahan pula, pengguna dilindungi insurans peribadi bernilai hampir RM7,000, menjadikannya satu-satunya jenama bateri dengan perlindungan takaful di Malaysia.

Dalam majlis sama, Bateriku turut melancarkan Makmal Kualiti Bateriku, sebuah fasiliti berteknologi tinggi di bawah anak syarikat Makmal Hijau Sdn. Bhd. yang menguji prestasi, ketahanan dan keselamatan bateri secara menyeluruh mengikut piawaian SIRIM dan antarabangsa.

Datuk Hanafi dalam ucapannya memuji pendekatan progresif Bateriku dan menegaskan bahawa produk buatan tempatan mampu menyaingi kualiti jenama global jika disertai usaha inovasi dan komitmen terhadap standard.

“Banyak agensi seperti SME Corp menyediakan dana permulaan. MITI pula akan menyokong dari segi promosi dan pasaran antarabangsa apabila syarikat bersedia,” ujar beliau.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran, media turut dibawa meninjau operasi Bateriku yang meliputi Pusat Khidmat Pelanggan (Contact Center): pusat penyelarasan aduan dan permintaan pelanggan, Pitstop Bateriku: pusat logistik, pengedaran dan sokongan teknikal.  Makmal EV Bateriku: kemudahan baik pulih bateri kenderaan elektrik, Akademi Bateriku: pusat latihan teknikal untuk juruteknik dan usahawan baharu dan Motormaniac Studio: ruang pameran kereta custom yang mengetengahkan kreativiti juruteknik tempatan.

Lawatan diakhiri dengan pertunjukan aksi drift oleh Daleela Dasuki, ikon muda permotoran tempatan yang kini makin menyerlah.

Dengan pelancaran ASTRA dan pemantapan infrastruktur teknikal serta ekosistem digitalnya, Bateriku kini berada di barisan hadapan dalam revolusi automotif digital Malaysia. Produk inovasi tempatan kini bukan lagi pilihan kedua sebaliknya, pemacu utama masa depan automotif negara.

“Teknologi automotif tidak harus eksklusif kepada jenama antarabangsa sahaja. Malaysia juga mampu mencipta sistem sendiri yang selamat, berkualiti dan mesra pengguna,” tegas Azarol mengakhiri sesi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page