Ary Hussin Teruja Lahirkan Single Pertama ‘Luka Terpaling Dalam’
Sentuhan Legenda Edrie Hashim Jadi Detik Paling Berharga
Foto Kredit: Papadin
Impian yang tidak pernah berani dibayangkan akhirnya menjadi kenyataan buat penyanyi baharu, Ary Hussin, apabila dia muncul dengan single perdana berjudul Luka Terpaling Dalam sebuah karya eksklusif hasil sentuhan penuh komposer legenda tanah air, Edrie Hashim.
Selepas bertahun hanya menghiburkan pelanggan di gerai burger dan pengikut di media sosial, Ary kini melangkah ke fasa baharu sebagai penyanyi profesional dengan naskhah yang benar-benar dicipta khas untuk suaranya.
Menurut Ary, peluang bekerjasama dengan Edrie merupakan sesuatu yang terlalu besar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Memiliki single sendiri adalah sesuatu yang saya tak pernah berani mimpi. Apatah lagi ia dihasilkan oleh seseorang yang saya anggap legenda dan sangat saya hormati. Saya masih rasa seperti bermimpi,” katanya ketika ditemui media sewaktu pelancaran singlenya di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu.

Ary mengakui bahawa saat pertama kali mendengar hasil akhir lagu itu membuatkan dirinya sebak kerana merasakan ia benar-benar menggambarkan identiti vokalnya.
“Edrie memahami suara saya dengan sangat baik. Luka Terpaling Dalam macam dicipta daripada jiwa saya sendiri. Itu yang membuat saya sangat terharu,” ujarnya.
Dengan melodi pop balada beremosi pekat serta susunan strings dan piano yang sinematik, Ary berkata keyakinannya sebagai penyanyi bertambah kerana mendapat bimbingan terus daripada komposer yang sudah berdekad dalam industri.
“Saya berasa sangat dihargai apabila Edrie percaya dengan kemampuan saya. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk masuk ke arena seni secara serius,” katanya.
Pelancaran single itu turut memperlihatkan tayangan perdana muzik video arahan Syazwan Zazlan (A7 Entertainment), sekali gus menjadi persembahan sulung Ary di hadapan wakil media.
Bagi Ary, momen itu menjadi antara kenangan paling bermakna dalam hidupnya.
“Saya tak sangka dapat melihat muzik video sendiri, apatah lagi menyanyikan lagu ciptaan legenda di hadapan media. Ia momen yang saya akan ingat sampai bila-bila,” ujarnya.

Sementara itu Edrie menifatkan bahawa karya itu memang dibina mengikut kekuatan vokal Ary yang dikenali dengan warna suara ‘tanah air’ yang tebal.
“Lagu ini saya hasilkan mengikut ciri khas vokal Ary yang kaya dengan bunyian Melayu. Ada elemen klasik tetapi tetap segar, sesuai cita rasa masa kini,” katanya.
Dengan permainan strings dan piano yang sinematik, Luka Terpaling Dalam diposisikan sebagai balada kontemporari yang sarat emosi dan patah hati genre yang menjadi taruhan utama Ary.

Bagi Ary, peluang memiliki single pertama yang dihasilkan oleh figura besar seperti Edrie Hashim adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya.
“Ini sejarah dalam hidup saya. Lebih bermakna kerana ia dihasilkan tokoh yang saya sangat segani. Saya bersyukur suara saya diterima sebagai berkualiti untuk diketengahkan secara profesional,” katanya sebak.
Menurutnya, walaupun hadir sebagai pendatang baharu pada usia 40 tahun, semangat dan keyakinannya untuk memberi yang terbaik tidak pernah luntur.
Baik Ary mahupun Edrie, kedua-duanya sepakat menaruh harapan agar karya ini diraikan sebagai antara naskhah pop balada baharu yang menyeri landskap muzik tempatan.
“Tanpa karya baharu meskipun dalam genre sama, industri kita tidak dapat berkembang. Semoga Luka Terpaling Dalam mendapat tempat di hati pendengar,” ujar mereka.
Single diterbitkan dan diedarkan oleh A7 Empire (A7E), dan kini boleh didengar di platform digital serta stesen radio.
