Art of Speed 2025 Gegar MAEPS Serdang – Tarikan Kustom Antarabangsa, Konsert Mini & Aktiviti Keluarga

Kredit Foto: AOS 2025
Festival automotif paling dinanti di Malaysia, Art of Speed (AOS) 2025, kembali mencetus fenomena di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) yang telah berlangsung pada 26 – 27 Julai lalu. Dikenali sebagai acara tahunan terbesar untuk budaya kustom, AOS 2025 menampilkan gabungan pameran kenderaan eksklusif, aktiviti komuniti, konsert mini serta bengkel interaktif untuk semua peringkat umur.
Pengasas AOS, Asep Ahmad Iskandar, berkata tahun ini acara dirancang dengan skala lebih besar untuk memberi pengalaman menyeluruh kepada pengunjung.

“Kami bukan sekadar mempamerkan motosikal dan kereta kustom, tetapi membawa semangat komuniti, kreativiti dan hiburan ke satu platform. Dengan penyertaan pembina antarabangsa dari Jepun, Thailand dan Australia, AOS 2025 menjadi bukti Malaysia kini berada dalam radar global dunia kustom,” katanya.








Dewan A menjadi nadi utama AOS 2025, mempamerkan ratusan motosikal dan kereta kustom yang mencuri perhatian peminat automotif. Tarikan utama ialah tiga jentera istimewa dalam kategori “Custom Craft” antaranya BMW R18 “Ground 0” oleh Custom Works Zon (Jepun), Harley-Davidson Knucklehead hasil tangan Masa Sugihara dari Luck MC (Jepun) dan Harley-Davidson Flathead oleh Ben Forster dari Benflathead (Australia).
Selain itu, pertandingan Show & Shine menjadi medan persaingan panas, dengan pemenang utama bakal berlepas ke Yokohama Hot Rod Custom Show, sebuah acara kustom berprestij di Jepun.



Tidak terhad pada gaya chopper dan cafe racer, kategori motosikal AOS 2025 turut mempamerkan skuter dan kapcai kustom. Ia menjadi pentas utama bagi pembina tempatan menonjolkan kreativiti dan bakat mereka. Bahagian kereta pula memukau dengan deretan jentera legenda Jepun, Eropah dan tempatan, termasuk van klasik, kereta sports bersejarah dan modifikasi unik yang jarang dilihat di Malaysia.


Di luar dewan, suasana lebih meriah dengan perkumpulan kelab kereta dan motosikal, bazar jualan alat ganti, dan sesi pandu uji motosikal. AOS 2025 juga memperkenalkan kawasan khas Santai Scooterist, tempat pertemuan penggemar skuter retro dari seluruh negara.
Tidak cukup dengan itu, pengunjung turut dihiburkan dengan konsert mini menampilkan band tempatan dan persembahan DJ sepanjang hari. Sesi “meet & greet” bersama pembina kustom antarabangsa turut dianjurkan, membolehkan pengunjung bertanya terus tentang inspirasi dan teknik modifikasi.




SoundCircus Takeover tahun ini hadir dengan sentuhan segar yang memukau di Dewan A. Antara artis yang memeriahkan pentas adalah Noh Salleh, Restore Iboe, Romantic Echoes, Ruffedge, Luqman Podolski, Sabda Alam, Fugo, Iqbal M, Budak Nakal Hujung Simpang, Chronicalz, 53 Universe, Langkawi Dub Club SoundSystem, Mai Tummada serta ramai lagi.
Menurut Asep, kejayaan AOS selama lebih sedekad adalah hasil sokongan kuat daripada komuniti automotif tempatan.
“Setiap tahun kami cuba tampilkan kelainan. Tahun ini, dengan skala pameran yang lebih besar, kami mahu AOS terus menjadi platform untuk semua brmula dari pembina kustom, pemilik kereta klasik, hinggalah penggemar gaya hidup automotif,” ujarnya.
Bagi penggemar dunia automotif, inilah peluang menyaksikan jentera kustom antarabangsa, membeli aksesori eksklusif dan menikmati suasana komuniti automotif paling meriah di Malaysia.