Armin van Buuren Akan Kembali Ke Malaysia Untuk Membuat Persembahan Tahun Ini
Pesta Muzik & Seni Pinkfish 2024 kini akan lebih meriah apabila DJ dan penerbit lagenda terkemuka antarbangsa, Armin van Buuren telah diumumkan sebagai artis ‘headliner’ kepada pesta tersebut oleh para penganjur. Menurut mereka, Armin telah dijadualkan untuk membuat persembahannya pada tanggal 8 Jun, 2024 di Surf Beach, Sunway Lagoon.
Penampilan Armin untuk edisi pesta tahun ini juga adalah merupakan penampilan pertamanya di Malaysia selepas kali terakhir beliau melakukan persembahan di Malaysia adalah pada tujuh tahun lepas.
Berikutan pengumuman mereka itu, para pengajur pun berkata bahawa sesiapa yang akan menyaksikan persembahan Armin pada pesta itu bolehlah mengharapkan untuk dibawa dalam sebuah perjalanan muzik yang memukau, kerana Armin dikenali sering mempamerkan gabungan bunyi khasnya yang berjaya memikat penonton di seluruh dunia.
Maka dengan itu, kemunculan Armin yang juga terkenal dengan status legendanya dalam dunia muzik elektronik pada pesta tersebut akan menjanjikan sebuah persembahan yang tidak dapat dilupakan.
“Selain daripada kemunculan Armin, ada lagi tarikan untuk pesta ini yang akan didedahkan dalam masa terdekat – nantikan pendedahannya tidak lama lagi! Ikuti Pesta Muzik & Seni Pinkfish di media sosial untuk kemas kini dan pengumuman eksklusif.
“Tiket untuk acara itu kini telah pun dijual di laman web www.pinkfishfestival.com – laman web rasmi Pesta Muzik & Seni Pinkfish 2024. Maka dengan itu, jangan ketinggalan untuk mendapatkan tempat anda untuk sebuah acara yang menjanjikan malam muzik dan kesenian yang tidak dapat dilupakan,” kata para penganjur.
Sambil menyatakan keghairahan dan keterujaan mereka untuk acara yang akan datang, pengasas Pinkfish, Rohit Rampal dan Kesavan Purusotman (KC), juga menekankan permintaan yang luar biasa daripada masyarakat untuk pengalaman muzik yang menakjubkan telah mendorong mereka untuk menerbangkan Armin ke Malaysia untuk pesta tersebut.
Berikutan acara yang sama tahun lepas yang telah berjaya menarik lebih 11,000 hadirin dari seluruh dunia, para penganjur Pesta Muzik & Seni Pinkfish tahun ini kini telah berikrar untuk mengatasi jangkaan mereka yang akan menghadiri pesta tersebut dengan kejutan yang lebih besar lagi selepas ini.