September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Armada Band Bakal Beraksi Di Kota Kinabalu November Ini

2 min read
Spread the love

Personaliti Harris Baba bakal menerbangkan kumpulan Indonesia Armada Band ke Sabah bulan November tahun ini (2023) bagi mengadakan konsert di negeri Malaysia Timur tersebut. Diberi nama ‘Armada – Janji Bahagia’, konsert itu akan berlangsung di Sabah International Convention Centre atau Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, bermula jam 8 malam pada tanggal 4 November.

Menurut sebuah kenyataan media, konsert ini merupakan projek pertama Harris bersama isteri, Nik Naziha Zawawi di bawah syarikat milik mereka yang dikenali sebagai Jeeharris Corporation dan fokus Jeeharris Corporation ialah menjurus kepada pengurusan acara dan konsert. Walaupun syarikat itu telah banyak menjayakan pelbagai acara karnival di Sabah, konsert ini bagaimanapun adalah merupakan konsert pertama anjuran syarikat tersebut.

Konsert ini merupakan projek konsert pertama Harris bersama isterinya Nik Naziha Zawawi

Melalui kenyataan media tersebut, Harris juga berkata syarikat beliau memilih Armada – yang dianggotai oleh vokalis Rizal Adi, drummer Meri Yandi dan guitarist Andika Maihendra – kerana kumpulan ini adalah antara kumpulan Indonesia yang popular dan banyak lagu-lagu mereka dikenali di Sabah.

Kenyataan media tersebut juga mendedahkan bahawa untuk konsert Armada – Janji Bahagia, Armada akan menyampaikan 18 buah lagu dan antara lagu-lagu yang bakal dinyanyikan oleh kumpulan tersebut termasuklah Bebaskan Diriku, Asal Kau Bahagia, Pergi Pagi Pulang Pagi dan banyak lagi.

Tentang perancangan lanjut syarikatnya, Harris mendedahkan bahawa Jeeharris Corporation akan membawakan lebih ramai lagi artis luar negara untuk mengadakan persembahan di Sabah dan dalam pada itu Jeeharris Corporation kini dalam perbincangan untuk membawakan band lain untuk mengadakan persembahan pada Januari 2024.

“Kami berharap mendapat sokongan yang menggalakkan daripada peminat-peminat Armada Band di Sabah dan sekali gus dapat memeriahkan lagi aktiviti pelancongan dan mengalakkan lebih banyak persembahan konsert di Sabah.

“Kami juga akan menjadikan konsert ini sebagai satu tarikan untuk penduduk dari Labuan, Sarawak dan Brunei untuk datang menyaksikan bersama persembahan Armada band secara live,” kata Harris.

Menurut Harris juga, Jeeharris Corporation juga sedang meneliti beberapa nama penyanyi tempatan Sabah untuk dijemput mengadakan persembahan pembukaan untuk konsert Armada – Janji Bahagia yang bakal berlangsung pada bulan November di Sabah itu nanti.

Tiket untuk konsert Armada – Janji Bahagia telah mula dijual di www.myticket.asia pada 24 Julai lalu pada harga bermula RM129 sehingga RM799. Tiket yang berharga RM799 pula akan membolehkan para peminat Armada untuk duduk sambil menyaksikan konsert tersebut dan bertemu dengan Armada di dalam sebuah sesi “meet and greet”.

Kuota dan spesifikasi bagi tiket “Meet & Greet” dan “VIP” untuk konsert Armada – Janji Bahagia
Jenis tiket yang sedang dijual untuk konsert Armada – Janji Bahagia yang bakal berlangsung di Kota Kinabalu pada November tahun ini.

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page