Arja Lee dan Hairi Safwan Bersama 200 Pelajar Imarahkan Program Budi@Seni Inspirasi Generasi
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama SMK Cochrane Perkasa telah berjaya menganjurkan program Budi@Seni Inspirasi Generasi yang melibatkan penyertaan seramai 200 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar SMK Cochrane Perkasa dan SMK Cochrane.
Bual Bicara Budi@Seni merupakan program ilmiah yang memberi fokus kepada penerangan, penerapan dan pendedahan kepada Dasar Kebudayaan Negara, Nilai-nilai Murni, Budi Bahasa, Patriotik dan Semangat Kenegaraan yang berprinsipkan Rukun Negara ke arah melahirkan warga yang berkualiti dengan Budaya Berprestasi Tinggi yang mengamalkan nilai-nilai murni yang konsisten.
Program ini bertujuan untuk menyemai nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap seni budaya dalam kalangan generasi muda melalui pelbagai aktiviti interaktif yang bertemakan kecintaan kepada tanah air bersempena bulan kemerdekaan. Istimewanya, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran artis terkenal, Arja Lee dan Hairi Safwan, yang berkongsi pengalaman serta memberi inspirasi kepada para pelajar.
JKKN WPKL komited untuk terus menganjurkan program-program seumpama ini dalam usaha membina jati diri generasi muda melalui seni budaya, selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan generasi yang berakhlak mulia dan berdaya saing.