March 28, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ari Lesmana Bawa ‘Mangu’ ke Kuala Lumpur, Janjikan Persembahan Sarat Emosi

Spread the love

Tiket Konsert Mula Dijual 2 April, Jam 12 Tengah Hari — Peminat Disaran Bertindak Pantas Bagi Mengelakkan Kehabisan

Penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Ari Lesmana bakal mengubati kerinduan peminat tempatan menerusi konsert solo eksklusif “MANGU di Kuala Lumpur” yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos 2026.

Konsert anjuran Rockstage Entertainment itu akan mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur, sebuah lokasi bertaraf antarabangsa yang cukup sinonim dengan kualiti audio dan visual terbaik.

Menariknya, “MANGU” bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya hadir dengan konsep artistik yang mendalam. Tema ‘Mangu’ yang membawa maksud tenggelam dalam emosi dan perasaan akan diterjemahkan secara kreatif oleh Ari menerusi susunan lagu khas, sekali gus mengajak penonton menyelami sisi peribadi serta jiwa seninya.

Konsert ini turut menyaksikan eksperimen berani apabila Ari berkolaborasi dengan DJ Firza. Gabungan vokal puitis bersama elemen muzik elektronik moden dijangka melahirkan pengalaman indie-elektronik yang segar dan berbeza daripada persembahan konvensional.

Tidak hanya itu, malam penuh emosi ini juga bakal diserikan dengan penampilan khas ENAU, yang semakin dikenali menerusi karya berteraskan lirik jujur dan dekat dengan jiwa pendengar.

Menurut wakil penganjur, Talib Othman, pihaknya yakin konsert ini mampu mencipta pengalaman yang berbeza kepada peminat muzik tempatan.

“Konsep ‘Mangu’ ini sangat kuat dari segi emosi. Ari bukan sekadar menyanyi, tetapi menyampaikan cerita dan perasaan yang boleh dirasai oleh penonton. Itu yang menjadikan konsert ini unik dan istimewa,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan Zepp Kuala Lumpur sebagai lokasi adalah bagi memastikan setiap penonton dapat merasai keintiman persembahan selain menikmati kualiti bunyi yang optimum.

“Kami mahu peminat benar-benar tenggelam dalam pengalaman yang dibawakan. Suasana di Zepp Kuala Lumpur sangat sesuai untuk konsep sebegini kerana lebih dekat dan eksklusif,” katanya.

Dalam masa sama, penganjuran konsert ini juga dilihat selari dengan usaha memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi hiburan serantau sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dengan populariti Ari Lesmana yang semakin meningkat di Malaysia, konsert ini dijangka mendapat sambutan hangat. Tiket akan mula dijual pada 2 April, jam 12 tengah hari, dan peminat disarankan untuk mendapatkannya lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Konsert “MANGU di Kuala Lumpur” dijangka menjadi sebuah pengalaman luar biasa yang menggabungkan elemen puisi, emosi dan teknologi muzik dalam satu malam yang pasti meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page