January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ari Lesmana Bawa Aura ‘Mangu Di Bawah Bayu’ Ke Kota Kinabalu

Spread the love

Buat julung kalinya, penyanyi ikonik Indonesia dan vokalis kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana, bakal menyapa peminat di Sabah menerusi konsert solo istimewa bertajuk “Mangu Di Bawah Bayu” yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC).

Dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment, konsert ini dijangka menjadi sebuah pengalaman muzik yang sarat dengan emosi, estetika dan keintiman, selari dengan falsafah “Mangu” yang membawa maksud keadaan termenung, tenang serta terpesona dalam keindahan perasaan.

Dikenali dengan karakter vokal yang lembut dan penuh jiwa, Ari Lesmana bakal membawakan persembahan yang lebih dekat dengan penonton, sekali gus mencipta suasana reflektif dan ‘healing’ buat peminat di Bawah Bayu. Konsert ini turut diperkaya dengan kolaborasi istimewa bersama DJ Firza dan Millvrd, yang dijangka memberikan dimensi muzik lebih segar dan dinamik.

Menurut Fakhrul Khalid, Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, penganjuran konsert ini merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk membawa pengalaman hiburan berkualiti tinggi ke Sabah.

“Kami sangat teruja untuk membawakan Ari Lesmana ke Kota Kinabalu. Aura dan identiti muzik Ari mempunyai pengikut yang sangat kuat di sini. Melalui ‘Mangu Di Bawah Bayu’, kami mahu mencipta sebuah ruang di mana penonton boleh ‘healing’ sambil menikmati produksi bertaraf antarabangsa di SICC,” katanya.

Beliau menambah, konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan artis dan peminat secara lebih dekat dan peribadi.

Sementara itu, Ari Lesmana turut meluahkan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Sabah selepas sekian lama menyimpan hasrat tersebut.

“Sudah lama saya ingin menyapa teman-teman di Borneo dengan lebih dekat. Sabah mempunyai energi dan keindahan alam yang luar biasa, sangat selari dengan jiwa ‘Mangu’ yang ingin saya sampaikan. Datanglah, kita berdialog lewat lagu, melepas rindu dan merayakan rasa bersama-sama di bawah bayu nanti,” ujarnya.

Tiket konsert mula dijual sejak 22 Disember 2025 dengan dua kategori utama iaitu VIP berharga RM377 dan Festival Standing pada harga RM177. Kategori VIP merangkumi sesi Meet & Greet, laluan pantas, beg tote, lanyard, kad ID serta barangan rasmi.

Harga tiket tidak termasuk caj pemprosesan, namun kemudahan bayaran ansuran turut ditawarkan menerusi SPayLater, PayLater by Grab dan Atome. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di www.myticketempire.com.

Konsert “Mangu Di Bawah Bayu” dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti di Sabah bagi tahun 2026, khusus buat peminat yang mendambakan pengalaman muzik yang lebih jujur, intim dan menyentuh jiwa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page