September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Arah Cinta’ Mendewasakan Siti Nordiana

2 min read
Spread the love

Selepas meraih kejayaan lagu seperti “Terus Mencintai” dan “Hatiku Milikmu” meraih populariti yang hebat, ianya seakan mengembalikan semula zaman kegemilangan Siti Nordiana. Malah, kemenangan di beberapa acara anugerah juga membuktikan kualiti karya yang dihasilkan.

Terbaharu, Nana muncul menerusi single “Arah Cinta” hasil ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna dan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music. Lagu bergenre pop balada itu adalah idea sepenuhnya oleh Ikhwan.

“Lagu Arah Cinta yang berkonsepkan pop balada dicipta sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna. Semuanya adalah idea Ikhwan yang dibuat berdasarkan kisah perhubungan yang boleh dikatakan sebagai toksik.

“Jadi, Ikhwan terjemahkan kisah itu dalam lagu ini dan saya cuba bayangkan perkara itu kerana di sekeliling saya juga terdapat kisah seperti ini. Dengan cara itu, saya dapat ‘feel’ untuk menyampaikan lagu ini,” katanya.

Jika beberapa single sebelum ini Nana sendiri memilih untuk menghasilkan lagu dan liriknya, berbeza pula dengan single “Arah Cinta”. Nana berkata, kekangan masa membuatkan dia menyerahkan sepenuhnya kerja penghasilan lagu kepada pihak syarikat rakaman dan komposer.

“Saya sebenarnya bekerjasama dengan komposer lain sebab memang tidak ada masa untuk buat lagu terbaru. Untuk buat lagu ini tak boleh buat dalam tempoh yang singkat untuk mendapatkan idea.

“Saya juga perlu cepat untuk keluar dengan karya baharu, jadi kalau nak tunggu idea sendiri itu memang akan ambil masa sedikit. Jadi, saya mempertaruhkan karya komposer lain sebagai single sendiri,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Nana, dia perlu membuka ruang untuk bekerjasama dengan komposer-komposer lain termasuk Ikhwan agar lagu yang dihidangkan kepada pendengar pelbagai dan segar.

“Pada masa sama, saya mahu cuba pelbagai sentuhan untuk melihat bagaimana sambutannya. Lagu ciptaan saya sendiri sudah tentu akan dibuat juga tapi akan ambil masa lama untuk disiapkan. Jadi, disebabkan mahu cepat dalam urusan buat lagu, saya ambil keputusan untuk dapatkan khidmat komposer lain,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai “Arah Cinta”, Nana berkata lagu itu memberi cabaran tersendiri selain menguji vokalnya.

“Keunikan single kali ini, ia menguji vokal saya. Mungkin sudah lama orang tak mendengar saya nyanyi lagu yang ‘power ballad’. Jadi, dalam lagu Arah Cinta ini, Ikhwan letakkan dinamik dalam lagu. Dari bahagian ‘soft’ ke ‘strong’ tu agak mencabar juga,” tambahnya.

Single “Arah Cinta” terbitan Seventeen Eleven Music dilancarkan pada 4 Ogos dan boleh mula distrim di semua pelantar striming muzik pada hari tersebut. Video muzik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube ‘Seventeen Eleven Music’ pada hari yagn sama jam 9 malam.

Sebaik dilancarkan, single “Arah Cinta” Siti Nordiana terus menduduki tangga #1 carta iTunes


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page