Ara Johari & Trio Latah Semarakkan Kemeriahan Aidilfitri dengan Zapin Malam Raya

Penyanyi berbakat besar, Ara Johari, terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharu berjudul Zapin Malam Raya. Lagu yang mengangkat irama zapin Melayu ini turut menampilkan kumpulan pelawak terkenal dari Pantai Timur, Trio Latah, sebagai penyanyi undangan. Majlis pelancaran berlangsung dalam suasana penuh meriah di Bizmilla Event Hall, Putrajaya, pada 9 Mac lalu.
Menurut Ara, penerbitan Zapin Malam Raya bermula secara tidak dirancang selepas beliau bertemu dengan komposer Affan Mazlan minggu lalu. “Memang ada niat untuk merakamkan lagu raya, tetapi saya sukar menemui demo yang benar-benar sesuai. Dalam pada mencari, saya bertemu Affan, dan selepas perbincangan ringkas, terhasillah lagu ini,” kata Ara yang kelihatan teruja dengan projek terbaharunya ini.
Zapin Malam Raya dicipta oleh Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus, dua nama yang tidak asing dalam dunia muzik tradisional dan kontemporari Malaysia. Ara turut mengakui bahawa ini adalah kali pertama beliau menyanyikan lagu berentak irama Malaysia secara penuh, yang pastinya memberikan cabaran tersendiri buat dirinya.

“Selama ini, orang mengenali saya dengan lagu-lagu rock yang bernada tinggi dan penuh tenaga. Tetapi lagu ini benar-benar membawa saya ke sisi yang berbeza. Saya seronok mencuba sesuatu yang baru, dan saya harap peminat akan menyukainya,” tambah Ara.
Salah satu daya tarikan utama Zapin Malam Raya adalah penggunaan dialek Negeri Sembilan dan Kelantan dalam liriknya, memberikan sentuhan segar kepada penceritaan lagu ini. Lagu ini mengisahkan seorang suami yang teruja kerana giliran balik beraya tahun ini ke kampung halamannya, mencerminkan suasana gembira yang sering dirasai oleh ramai rakyat Malaysia menjelang Aidilfitri.

“Kami ingin memberikan kelainan dalam lagu ini, jadi penggunaan dialek menjadi elemen istimewa yang menceriakan. Selain itu, kehadiran Trio Latah juga menambahkan warna kepada lagu ini. Mereka bukan sahaja menyumbangkan vokal, tetapi juga elemen latah yang menjadikan lagu ini lebih hidup,” jelas Ara.
Trio Latah, yang terkenal dengan tabiat melatah mereka, memberikan pengalaman rakaman yang unik bagi Ara dan pasukan produksi. “Rakaman berjalan lancar, walaupun ada cabaran kerana mereka memang melatah secara spontan! Tetapi sebenarnya, itu yang saya mahukan kerana ia menjadikan lagu ini lebih asli dan menyeronokkan,” kata Ara sambil ketawa.
Muzik video Zapin Malam Raya kini dalam proses penggambaran dan dijangka boleh ditonton oleh peminat minggu hadapan. Ara turut berkongsi bahawa video muzik ini akan menampilkan konsep yang ceria dan penuh dengan elemen kebudayaan Melayu.

Single Zapin Malam Raya akan diedarkan oleh Universal Music Malaysia dan tersedia di semua platform digital mulai 19 Mac ini. Dengan gabungan elemen zapin, dialek unik, serta sentuhan humor daripada Trio Latah, lagu ini dijangka menjadi salah satu lagu raya yang paling dinantikan tahun ini.