Anuv Jain Gegar ZEPP KL Julai Ini Menerusi Jelajah Dunia ‘Dastakhat’
Penyanyi dan komposer indie terkenal dari India, Anuv Jain bakal mencipta sejarah peribadi apabila membawa jelajah dunia terbaharunya, Dastakhat Tour 2025–2026, ke Kuala Lumpur buat pertama kali.
Dari seorang artis yang membina nama menerusi platform digital, Anuv kini muncul sebagai antara figura muzik indie paling berpengaruh dan paling banyak distrim dari India. Keupayaannya menterjemahkan emosi mentah seperti cinta, kehilangan dan pencarian diri dalam bentuk lagu menjadikan setiap karya terasa dekat di hati pendengar.
Konsert di ibu negara ini dibawakan oleh AEG Presents Asia dan iMe Malaysia, dan dijadual berlangsung pada 29 Julai 2026 (Rabu) di ZEPP Kuala Lumpur.
Tiket akan mula dijual pada 5 Mac 2026 (Khamis), jam 12 tengah hari (MYT) menerusi platform BookMyShow dan ime.bigtix.io.

Jelajah Dastakhat menjadi kemuncak kepada trilogi konsert yang membentuk perjalanan seni Anuv sebelum ini.
Pada 2021, jelajah nasional pertamanya, Dastakein, mencatat kejayaan luar biasa apabila habis dijual di 10 bandar utama di India. Setiap destinasi membawa simbolik “dastak” atau ketukan, memperkenalkan muziknya secara lebih dekat kepada khalayak.
Beliau kemudian meneruskan momentum menerusi Guldasta Tour pada 2023 yang diterbitkan secara independen. Jelajah itu bukan saja mencatat kehadiran penonton yang memberangsangkan, malah menampilkan konsep persembahan lebih imersif dan intim.
Kini, Dastakhat dilihat sebagai ‘tanda tangan’ simbolik terhadap perjalanan seninya satu refleksi kematangan muzik dan langkah berani menembusi pasaran antarabangsa.
Sejak 2012, Anuv sudah melancarkan 14 single yang mengukuhkan kedudukannya dalam arus muzik global.
Antara karya paling berjaya termasuk ‘Husn’ yang dilancarkan pada Disember 2023 dan meraih lebih 500 juta penstriman global, sekali gus menduduki tangga kedua carta Spotify Viral Global serta nombor satu di India, Pakistan, Bhutan dan Maldives.
Single ‘Jo Tum Mere Ho’ (Ogos 2024) pula menjadi lagu kedua berturut-turutnya menduduki tempat pertama di India.

Awal tahun lalu, beliau melancarkan ‘Afsos’, kolaborasi sulung bersama penyanyi dan rapper Kanada, AP Dhillon, sebelum membuat debut penting menerusi ‘Arz Kiya Hai’ di program muzik popular Coke Studio Bharat pada Ogos 2025.
Kekuatan Anuv terletak pada persembahan bersahaja dengan gitar akustik dan susunan muzik minimalis yang menonjolkan kekuatan lirik. Walaupun sering tampil di hadapan ribuan penonton, aura persembahannya tetap terasa intim dan peribadi.
Kehadiran beliau ke Kuala Lumpur dijangka menarik peminat muzik indie tempatan dan komuniti diaspora India yang mahu menyaksikan sendiri pengalaman konsert penuh emosi yang menjadi identiti Anuv Jain.
