Anugerah Lagu Indie 2024 Hargai Peminat: Penonton Bertuah Menang Honda RS-X Winner

Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24), yang meraikan muzik indie tempatan, telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah peraduan “Tonton ALI24 & Menang Motor” pada 27 Julai 2025. Pemenang bertuah, Fathana Nadirah bt Mohd Tareh, 36 tahun, berjaya membawa pulang sebuah motosikal Honda RS-X Winner bernilai RM10,298.00, tajaan Honda Motorcycle Malaysia.
Majlis penyampaian hadiah diadakan di Honda Impian X V Power Motor Sdn. Bhd., Batu Caves, disempurnakan oleh Steven Chin (Division Head of Marketing, Honda), bersama Jennifer Thompson (Co-EP ALI24), serta dihadiri tokoh-tokoh industri permotoran dan sukan permotoran tempatan.

Peraduan ini dianjurkan eksklusif di Platform X, menyasarkan penonton siaran langsung ALI24 di YouTube. Penonton dikehendaki mengumpul tiga kod unik dan menjawab satu soalan berkaitan Honda, kemudian membuat ciapan dengan maklumat lengkap dan hashtag #ALI2024HONDA. Pemenang dipilih berdasarkan kepantasan dan ketepatan penyertaan.
Tajaan Honda ini bertujuan mengukuhkan hubungan jenama mereka dengan golongan belia Malaysia, selari dengan semangat kreatif dan bebas yang dibawakan oleh Anugerah Lagu Indie.