November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Angsana Johor Bahru Mall Saksi Kemeriahan  Jelajah Suria Kuasa 2

Spread the love

Peminat Negeri Sembilan dan Kawasan Sekitar Nantikan Kemeriahan Berganda di AEON Mall Nilai Pada 29 September Ini

Siri Jelajah Suria Kuasa 2 berlangsung dengan jayanya di lokasi kedua iaitu di Angsana Mall, Johor Bahru pada Sabtu dan Ahad lalu. Kira-kira 6,000 pengunjung telah datang memberi sokongan pada kedua-dua hari dengan menyaksikan aktiviti pentas antaranya pertandingan KiraOke Suria dan konsert persembahan artis popular seperti Ameng Spring, Nabila Razali, Black Hanifah, Aina Abdul, Amir Masdi & The Band.

Pertandingan KiraOke Suria dijuarai oleh peserta wanita, Masturah Azhar yang membawa pulang RM3,000. Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Ahmed Daniel, seterusnya tempat ketiga menjadi milik Mohd Khairul Shahfawi. Masing-masing memenangi hadiah wang tunai RM1,500 dan RM1,000.

Semua peserta pertandingan karaoke tersebut menunjukkan semangat yang luar biasa dan saingan dari segi nyanyian juga amat sengit.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin, beliau terharu dan sangat menghargai sambutan yang diberikan oleh semua peserta, yakni pendengar Suria.

“Respons yang kami terima mengenai pertandingan KiraOke Suria ini amatlah luar biasa. Saya dimaklumkan, ada peserta yang sanggup datang dari Kelantan dan Terengganu semata-mata untuk menyertai pertandingan ini. Selain itu, latar belakang peserta juga berbeza profesyen, ada yang bekerja sebagai polis, jurutera malah pelajar pun ada menyertai. Mereka berusaha bersungguh-sungguh bukan saja dari segi nyanyian, penampilan juga bukan calang-calang. Mereka melaram sehabis baik terutama pada peringkat akhir, kami sangat terharu dengan semangat mereka dan sangat berterima kasih,” katanya.

Dalam pada itu, pendengar juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan barisan penyampai Suria ketika siri jelajah berlangsung.

“Sudah lama Suria FM tidak mengadakan acara di Angsana Mall kerana beberapa siri jelajah sebelum ini kami adakan di suatu lokasi yang lain. Kembalinya kami kesini, syukur Alhamdulillah, orang ramai memberikan sokongan yang menggalakkan. Saya difahamkan, ramai pengunjung yang datang daripada jam 10 pagi hingga 10 malam. Pada masa sama, ramai juga yang datang pada kedua-dua hari.

“Jelajah Suria Kuasa 2 di sini adalah satu penganjuran yang berjaya kerana pengunjung bukan saja datang dari Johor Bahru, ada juga yang datang dari Singapura dan Brunei untuk sama-sama memberi sokongan dan memeriahkan suasana,” tambah DJ Lin.

Jelajah Suria Kuasa 2 bakal gegarkan Aeon Mall Nilai, Negeri Sembilan pada 28 September (Sabtu) dan 29 September (Ahad) ini dengan menampilkan barisan artis popular tanah air seperti Danial Kifli, Aisha Retno, Baby Shima, Ruffedge, Ezad Lazim, Masdo dan ramai lagi!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page