Andrigo Suara, Sang Hitam Jiwa – Luncai Emas Lebarkan Sayap ke Indonesia

Selepas kejayaan lagu ikonik Isabella dan Tiara menawan hati peminat muzik di Indonesia, Luncai Emas kini melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan karya terbaharu bertajuk Rasa Sakit Rasa Rindu. Lagu ini mempertemukan komposer eksklusif Malaysia, Sang Hitam, dengan penyanyi Indonesia, Andrigo, sekali gus menjadi simbol kolaborasi dua negara dalam mengangkat jiwa balada serantau.
Dilancarkan secara rasmi bersama video muzik di saluran YouTube Luncai Emas dan semua platform digital pada 8.8.2025, lagu ini hadir dengan aura slow rock Malaysia yang penuh emosi, diadun dengan suara merdu Andrigo yang terkenal di arena Pop Melayu.
Nama Sang Hitam mungkin tidak sepopular penyanyi arus perdana, namun hasil ciptaannya sering menjadi buah mulut peminat muzik tempatan. Beliau dikenali dengan lirik tajam dan puitis yang sarat dengan tema kehilangan, cinta palsu, serta kerinduan yang rapuh.
Antara karya terdahulunya termasuk Kata Akhirmu (Ariff Bahran), Kepuraanmu (Luqman Faiz), Menggenggam Bahagia (Sufian Suhaimi), dan Gelora Jiwa Meronta Asmara (Tomok & Siti Nordiana).
Bagi Sang Hitam, Rasa Sakit Rasa Rindu adalah naskhah yang sangat peribadi.
“Saya percaya lagu ini akan menyentuh ramai pendengar apatah lagi ianya menyentuh tentang sakitnya kehilangan, indahnya rindu, dan ketakutan untuk membuka hati semula,” jelasnya.

Andrigo, penyanyi asal Riau yang pernah bernaung di bawah label besar NAGASWARA, sudah lebih 16 tahun mengukir nama di persada muzik Indonesia. Hits seperti Pacar Selingan, Demi Cinta, Cinta Yolanda, dan Terbunuh Rindu telah membuktikan kekuatan vokalnya dalam menyampaikan balada Pop Melayu.
Berkongsi keterujaan dengan projek ini, Andrigo menyatakan bahawa lagu ini sangat istimewa kerana muziknya dikemas dengan sentuhan slow rock Malaysia. Beliau berharap ia menjadi nafas baru dalam kerjayanya dan diterima baik oleh pecinta muzik di Indonesia dan Malaysia.
Andrigo turut mendedahkan kerjasama ini bermula daripada pertemuan dengan pihak Luncai Emas untuk merakam semula lagu Isabella, sebelum akhirnya terjalin hubungan erat yang menghasilkan single istimewa ini.
Projek Rasa Sakit Rasa Rindu diterbitkan dengan kerjasama Luncai Emas Sdn. Bhd. (Malaysia) dan PT Dua Suara Media (Indonesia). Lagu ini diproduseri oleh Dodhy (Kangen Band) dengan gubahan muzik oleh Sang Hitam, menjadikannya gabungan ideal antara dua tradisi muzik serumpun.
PT Dua Suara Media sendiri bukan asing dalam industri muzik Indonesia. Label ini pernah melahirkan karya popular seperti Cinta Sampai Mati nyanyian Raffa Affar, yang memenangi anugerah persembahan luar negara tertinggi di Anugerah MACP dua tahun berturut-turut (2023 & 2024).
Dengan pelancaran Rasa Sakit Rasa Rindu, Luncai Emas jelas menyusun langkah strategik untuk membawa karya ciptaan komposer Malaysia ke pasaran Indonesia. Usaha ini sekali gus membuktikan bahawa muzik Melayu masih relevan, merentas sempadan dan mampu menjadi jambatan budaya antara dua negara jiran.