Andi Bernadee Kembali dengan “Inikan Hari Raya”

Bulan Syawal semakin hampir, dan tahun ini, keceriaan Aidilfitri bakal diserikan lagi dengan kehadiran sebuah lagu baharu yang pasti menceriakan suasana. Andi Bernadee, penyanyi berbakat yang kini bernaung di bawah Universal Music Malaysia, tampil dengan single raya sulungnya yang berjudul “Inikan Hari Raya”, sebuah karya yang menggabungkan unsur moden dan tradisional dalam satu melodi yang segar dan menghiburkan.
Lebih istimewa, lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga membawa mesej yang dekat di hati, tentang kemeriahan dan kehangatan pulang ke kampung halaman, suasana persiapan raya, serta ikatan kekeluargaan yang semakin erat setiap kali Syawal menjelang.
Bercerita tentang perjalanan lagu ini, Andi mendedahkan bahawa proses rakaman “Inikan Hari Raya” berlangsung dalam dua fasa penting. Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk mendapatkan ‘feel’ lagu ini. Selepas sesi perbincangan bersama komposer, barulah rakaman terakhir dilakukan dengan keputusan yang telah diperkemaskan.

“Bagi saya, setiap lagu mesti mempunyai jiwa. Saya mahu pendengar bukan sahaja menikmati melodi yang rancak, tetapi juga merasai emosi dan makna yang terkandung dalam setiap bait lirik,” ujar Andi, yang turut terlibat dalam penulisan lirik bersama Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K.
Menariknya, “Inikan Hari Raya” bukan sekadar lagu raya biasa. Ia membawa elemen cerita yang cukup relatable – tentang ragam persiapan raya, momen manis bertemu keluarga, serta pengajaran di sebalik kemeriahan Syawal.
“Saya mahu lagu ini menjadi sebahagian daripada memori Aidilfitri setiap orang. Dari kanak-kanak yang menari riang, hingga ke ibu bapa yang tersenyum mengimbau kenangan – saya mahu semua orang menikmati dan menghayati mesejnya,” kata Andi penuh semangat.
Mengulas mengenai pengalamannya bekerjasama dengan pasukan produksi, Andi mengakui bahawa perbincangan dan pertukaran idea adalah kunci utama dalam menghasilkan karya berkualiti.
“Saya sentiasa terbuka untuk berkarya dengan sesiapa sahaja yang berkongsi visi dan minat yang sama. Apabila ada komunikasi yang baik, hasilnya pasti lebih mantap dan memuaskan,” jelasnya.
Bagi yang tidak sabar untuk menikmati lagu ini, tandakan kalendar anda kerana “Inikan Hari Raya” telah dilancarkan pada 28 Februari 2025 di semua platform digital.