AMK Indie 2025 Dianjak Ke November

Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 dipinda ke 29–30 November di Sepang, penganjur akui kurangnya sokongan jejas kelangsungan inisiatif muzik lokal
Dalam satu pengumuman yang penuh kejujuran dan keinsafan industri, penganjur Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) mengesahkan bahawa acara yang dijadualkan berlangsung pada Ogos kini dianjak ke 29 dan 30 November 2025 bertempat di Sepang International Circuit.
Langkah ini diambil berikutan sambutan yang tidak memberangsangkan daripada penonton tempatan terhadap festival yang bertujuan mengangkat muzik alternatif dan indie Malaysia. Keputusan sukar ini mencerminkan cabaran sebenar dalam menjayakan inisiatif akar umbi dalam suasana pasaran muzik yang semakin kompetitif.
“AMK Indie 2025 dibina untuk meraikan muzik kita sendiri. Tetapi realitinya, sambutan terhadap inisiatif ini masih belum mencukupi. Kurangnya sokongan terhadap artis lokal memberi kesan besar kepada jualan tiket, dan akhirnya menjejaskan kelangsungan festival ini,” kata Encik Aiman, Pengarah Westzone Entertainment.
“Kami tidak membatalkan tetapi kami ubah tarikh. Sebab kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif tempatan, dan kami tahu masih ada komuniti yang mahu lihat scene ini terus hidup.”
Beliau turut menyatakan bahawa festival ini bersaing dengan banyak konsert berskala besar antarabangsa yang menguasai ruang promosi dan tumpuan khalayak. Oleh itu, perubahan tarikh ini dilihat sebagai satu langkah strategik demi memberikan masa yang lebih panjang untuk menyuntik semula semangat dan sokongan daripada komuniti peminat muzik tempatan.
“Kami ingin menganjurkan festival ini dengan sebaik mungkin bukan kerana kami menyerah, tetapi kerana kami mahu hasilkan sesuatu yang benar-benar bermakna, bukan hanya kepada kami tetapi kepada semua yang percaya dengan muzik lokal,” tambahnya lagi.
Meskipun mengalami penjadualan semula, pihak penganjur memberi jaminan bahawa barisan 21 band indie Malaysia kekal tidak berubah dan festival ini tetap akan membawa persembahan terbaik daripada penggiat seni tempatan.

Semua tiket yang telah dibeli kekal sah untuk tarikh baharu, dan e-tiket yang dikemas kini akan dihantar kepada pembeli dalam masa terdekat. Yang lebih penting, harga tiket masih kekal bermula serendah RM80, menandakan komitmen penganjur untuk memastikan akses kepada acara ini terus mampu milik.
“Setiap pembelian bukan sekadar tiket tetapi ia adalah satu bentuk sokongan dan pelaburan terhadap masa depan muzik alternatif negara ini,” tegas kenyataan rasmi daripada pasukan penganjur.