October 5, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Amir Masdi Tampil Berbeza Dengan Single Inggeris Terbaharu

Spread the love

Penyanyi berbakat besar, Amir Masdi, tampil dengan kelainan menerusi single terbaharu berjudul Take Me Home, yang menonjolkan sisi berbeza dirinya sebagai artis versatil dalam industri muzik tempatan.

Lagu ciptaan Amir bersama komposer terkenal, Edry Abdul Halim, ini merupakan sebahagian daripada album keduanya berjudul AM:PM, yang memperlihatkan pelbagai eksperimen muzik segar dan unik.

Menurut Amir, inspirasi menghasilkan lagu tersebut tercetus ketika beliau berada di Manchester, England.

“Saya banyak mengambil inspirasi daripada lagu-lagu western rock, pop rock dan ballad rock cinta yang popular pada era 90-an dan awal 2000-an. Ketika menulis lagu ini, saya berada jauh dari tanah air, jadi secara semula jadi perasaan ingin pulang itu terzahir dalam penulisan lagu,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, maksud “home” dalam lagu tersebut lebih luas daripada sekadar rumah fizikal.

“Asalnya saya tulis ‘home’ ini sebagai sebuah perasaan, seseorang dan juga hati manusia. Ia adalah tempat di mana kita merasa selamat. Jadi, hati orang yang kita sayang itu boleh menjadi rumah buat kita,” katanya lagi.

Berbeza dengan karya terdahulu yang banyak menekankan kisah cinta secara spesifik, Take Me Home digarap secara lebih terus dan mudah dihayati.

“Lagu ini bukan semata-mata kisah peribadi saya, sebaliknya lebih kepada gambaran umum yang dekat dengan pengalaman ramai. Saya mahu ia menjadi sesuatu yang pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan mereka,” ujarnya.

Amir turut berharap single ini menjadi batu loncatan untuknya melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa.

“Saya mahu pendengar melihat sisi saya menyanyikan lagu Inggeris, dan kalau ada rezeki, saya mahu bawa lagu ini keluar negara bersama nama Malaysia,” katanya penuh semangat.

Selain itu, Amir menekankan mesej utama yang ingin disampaikan ialah hubungan rapat antara penyanyi dan peminat. Album AM:PM katanya, adalah bukti perjalanan muziknya yang dihasilkan bersama Edry Abdul Halim dengan bunyi serta hala tuju tersendiri.

Dalam perkembangan lain, Amir baru-baru ini dipilih sebagai wakil rasmi Malaysia dalam program National Day Spirit to Expo 2025 Osaka di Jepun.

Program berprestij itu mengetengahkan semangat Hari Kebangsaan Malaysia ke pentas dunia melalui persembahan muzik, tarian budaya, demonstrasi masakan, serta pameran seni dan segmen interaktif.

“Saya amat berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk mewakili Malaysia di Expo 2025 Osaka. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi peluang untuk membawa semangat Malaysia ke mata dunia. Semoga persembahan saya nanti menjadi kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page