July 16, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Amir Masdi Himpun Cinta dan Energi Rock and Roll Dalam ‘Bakal Kekasih’

Spread the love

Selepas sekian lama menyembunyikan sisi peribadi daripada perhatian umum, penyanyi berbakat besar Amir Masdi akhirnya tampil lebih terbuka dengan melancarkan single terbaharu berjudul “Bakal Kekasih”, sebuah karya yang bukan sahaja menyerlahkan sisi romantisnya, tetapi turut memperkenalkan Amir dalam gaya muzik yang lebih energetik dan klasik rock and roll.

Ditulis bersama komposer prolifik Edry Abdul Halim, lagu ini mengetengahkan perjalanan emosi seseorang yang mula jatuh cinta dan membayangkan insan yang ingin dijadikan teman seumur hidup.

“Saya tulis lagu ni sebagai lagu yang fun, tentang suka pada seseorang. Tapi Cikgu Edry cadangkan untuk jadikan ia lebih mendalam – daripada suka, jadi cinta yang mahu dibina hingga ke alam perkahwinan,” kata Amir, 29, yang juga dikenali sebagai Amir Syazwan Masdi.

“Bakal Kekasih” merupakan single keempat daripada album A.M P.M (Side A.M), menyusuli kejayaan lagu-lagu seperti Nur Cinta, Calar, dan Langit Biru. Namun, tidak seperti karya-karya sebelumnya, lagu ini menandakan kemunculan pertama Amir dalam genre rock and roll – genre yang jarang-jarang disentuh oleh penyanyi muda kontemporari masa kini.

“Saya dah tulis lagu ni lama dah, selepas PKP. Tapi ia lama tersimpan dalam telefon. Bila Cikgu Edry tanya saya nak lagu macam mana untuk album ni, saya terus ingat balik lagu ni. Dia pun cakap, ‘This is a good tune’, dan kami pun kembangkan idea itu bersama,” kongsi Amir.

Dengan lirik yang mesra dan bersifat universal, Amir berharap lagu ini menjadi medium kepada sesiapa yang ingin meluahkan rasa cinta terhadap insan yang diminati, tetapi masih mencari keberanian untuk berbuat demikian.

“Kalau ada sesiapa yang ada crush tapi malu nak luahkan, guna lagu ni. Lirik dia direct dan menyeronokkan,” katanya sambil tersenyum.

Menambahkan nilai istimewa kepada pelancaran ini, video muzik “Bakal Kekasih” telah dirakam di sebuah restoran retro di Manchester, United Kingdom, awal tahun lalu. Berkonsepkan “teenage vibes” ala High School Musical dan Uptown Girl, visual ceria ini menyokong aura bebas dan bertenaga yang dibawakan Amir dalam lagu tersebut.

“Saya nak tampilkan sesuatu yang ringan, menyeronokkan dan ‘feel good’. Lagu ni memang ada elemen klasik yang jarang diketengahkan sekarang. Harapnya peminat yang rindu irama rock and roll akan puas hati,” tambahnya.

Dengan semangat baharu dan sentuhan muzik klasik, Amir Masdi bukan sahaja menawarkan sesuatu yang segar dalam diskografi peribadinya, tetapi juga memperkukuh posisinya sebagai artis versatil yang berani bereksperimen.

“Bakal Kekasih” kini boleh distrim di semua platform digital manakala video muzik rasmi di YouTube AR United Music di pautan
https://youtu.be/zE_0Q2x7NF8?si=ulxcXpAEtGh49r2B


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page