Amir Masdi Angkat Bakat Muda, Bergandingan Dengan SPWinds Seri Puteri
Penyanyi berjiwa besar, Amir Masdi, sekali lagi membuktikan muzik bukan sekadar hiburan apabila memilih untuk menganjurkan sebuah persembahan istimewa bersama Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) sebuah kolaborasi yang sarat dengan nilai pendidikan, inspirasi dan pembinaan bakat generasi muda.
Dikenali dengan vokal berkarakter serta penghayatan emosi yang mendalam, Amir melihat gabungan bersama SPWinds sebagai satu pentas bererti, bukan hanya untuk mempersembahkan karya, tetapi untuk berkongsi perjalanan seni dengan pemuzik muda yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
SPWinds sebelum ini mencipta sensasi apabila berjaya meraih Anugerah Emas di World Orchestra Festival ke-11 di Vienna, Austria pada 2025, sekali gus mengangkat orkestra sekolah itu sebagai antara yang terbaik di dunia. Kejayaan itu menjadi latar kuat kepada persembahan yang bakal diterajui Amir Masdi.

“Saya berbesar hati untuk mengadakan persembahan bersama SPWinds. Disiplin, kesungguhan dan semangat para pemuzik mudanya sangat menginspirasikan saya. Saya berharap kolaborasi ini dapat memberi makna, bukan sahaja kepada penonton, tetapi juga kepada perjalanan seni mereka,” kata Amir sewaktu ditemui media di Cyberjaya pada 29 Januari lalu.
Persembahan ini bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha pengumpulan dana bagi menyokong persiapan SPWinds ke World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda.
Penglibatan Amir Masdi dilihat sebagai suntikan nilai artistik dan motivasi kepada pemuzik muda SPWinds, selain membuka pendedahan kepada dunia muzik profesional secara langsung.
Mengulas kolaborasi itu, Presiden Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB), Shah Rizal Jazib, menyifatkan Amir sebagai figura seni yang tepat dan berintegriti untuk digandingkan bersama orkestra berkenaan.
“Amir Masdi bukan sahaja memiliki kredibiliti vokal yang tinggi, malah nilai disiplin dan komitmen seni yang selari dengan falsafah kemenjadian murid SPWinds. Kehadiran beliau mengangkat mutu artistik persembahan ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Semua hasil kutipan konsert akan disalurkan sepenuhnya bagi menyokong pembangunan SPWinds, termasuk latihan, persiapan teknikal dan keperluan logistik menjelang pertandingan antarabangsa akan datang.
Tiket persembahan Amir Masdi bersama SPWinds akan mula dijual pada 30 Januari 2026, jam 3 petang, menerusi laman web TICKETEMPIRE di www.myticketempire.com/windsofglory
dengan harga bermula RM178 hingga RM378.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Pn. Lina Rashid (019-275 8571) atau Pn. Shahriyah (019-435 2090).
